Berita Berita
15 tahun tunggu 'flyover', penduduk Alam Budiman bawa enam kubur tepi jalan simbolik tuntut penyelesaian
SHAH ALAM 23 Okt – Lebih 100 penduduk mengadakan demonstrasi aman dengan membawa enam kubur simbolik bagi mendesak pembinaan jejambat di Persimpangan Alam Budiman yang didakwa masih belum mempunyai penyelesaian selepas lebih 15 tahun.
Tindakan meletakkan kubur berhias itu sebagai simbol kebimbangan terhadap risiko kemalangan di persimpangan berkenaan yang menjadi laluan utama penduduk Puncak Perdana, Alam Budiman dan Puncak Alam.
Isu tersebut dipercayai memberi kesan kepada lebih 200,000 penduduk di kawasan terbabit yang sekian lama menuntut penyelesaian bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Alam Budiman, Badrulhisham Shahbudin, 57, berkata permohonan membina jejambat sudah beberapa kali dikemukakan kepada pihak berkaitan, termasuk sebelum pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).
“Kami amat kesal kerana sudah lebih 15 tahun menunggu. Jika jejambat ini dibina, kami yakin jumlah kemalangan di sini dapat dikurangkan.
“Namun, sampai sekarang tiada maklum balas daripada pihak berkaitan berhubung permintaan ini,” katanya selepas menyertai demonstrasi aman bersama lebih 100 penduduk di sini, hari ini.
Menurutnya, penduduk memahami kerajaan negeri berdepan pelbagai kekangan termasuk kos pembinaan dan keperluan menjalankan kajian kesesuaian projek.
Bagaimanapun, beliau berharap isu keselamatan di persimpangan berkenaan diberikan perhatian serius supaya tidak terus berlarutan.
Badrulhisham berkata, kebimbangan penduduk semakin meningkat selepas berlaku kemalangan membabitkan sebuah lori yang memasuki laluan bertentangan kira-kira dua minggu lalu.
“Selepas kejadian itu, ada penduduk memaklumkan kepada saya mereka sudah tidak berani menggunakan persimpangan ini kerana takut terbabit dalam kemalangan. Untuk bulan ini sahaja, sudah berlaku empat kemalangan di persimpangan ini,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa memorandum mengandungi tuntutan penyelesaian isu Persimpangan Alam Budiman telah diserahkan kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof, pagi tadi.
Berita berkaitan
October 23, 2026, 10:23 pm
Sampai hati ibu! Mayat bayi perempuan tujuh bulan ditemui dalam tong sampah apartmen
October 23, 2026, 10:05 pm
Murid Tahun Satu maut dipercayai jatuh dari tingkat 10 PPR ketika main basikal
October 23, 2026, 5:17 pm
'Jutaan pencarum berhak tahu' - PGIRM desak KWSP jelaskan dakwaan 'tak cukup duit'
October 23, 2026, 4:00 pm
2027 tahun penting buat KPM, kurikulum baharu bakal dilaksana, jadikan sekolah lebih selamat
October 23, 2026, 3:52 pm
DUN Sarawak bubar bermula Isnin 26 Oktober ini
October 23, 2026, 3:34 pm
TuJu ganti Waze: 'Takpalah jalan jauh sikit, daripada serah maklumat kepada Israel"- Anwar
October 23, 2026, 2:36 pm
Tangki helium meletup ketika kerja kimpalan, lelaki maut di kilang barang lusuh di Kajang
October 23, 2026, 2:22 pm
Ahli PN digesa sokong calon BN pada PRN Melaka – Takiyuddin
October 23, 2026, 1:57 pm
