TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pekerja Mardi maut disengat lebah ketika cuba ambil madu di Kemaman

By
|
Kongsi
image

 

KEMAMAN 25 Okt – Seorang kakitangan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) maut selepas diserang sekumpulan lebah ketika cuba mengambil madu daripada sarang di atas sebatang pokok di Stesen Mardi Kemaman, Jalan Air Putih, di sini, semalam.

Mangsa, Hafizul Mat Nor, 40, dilaporkan disengat lebah kira-kira jam 9.50 pagi sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kemaman, kira-kira sembilan jam kemudian.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, kejadian berlaku ketika mangsa memanjat sebatang pokok setinggi tiga meter untuk mendapatkan madu lebah.

Menurutnya, mangsa yang ditemani seorang rakan sekerja berusia 44 tahun tiba-tiba diserang sekumpulan lebah ketika berada di atas pokok berkenaan.

“Sewaktu memanjat pokok, dia tiba-tiba diserang sekumpulan lebah. Mangsa yang panik segera turun sambil menyuruh rakan sekerja berusia 44 tahun yang menemaninya menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Razi berkata, kedua-dua lelaki itu kemudian bertindak terjun ke dalam lopak air berhampiran bagi mengelakkan diri daripada terus disengat lebah.

Bagaimanapun, sebaik keluar dari lopak air, Hafizul mula mengadu sakit pada bahagian kaki dan tangan sebelum mengalami kekejangan.

Keadaan mangsa semakin serius apabila dia tidak sedarkan diri, menyebabkan rakannya segera mendapatkan bantuan kecemasan.

“Mangsa segera dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman dengan ambulans, namun lelaki itu gagal diselamatkan,” katanya.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.

+ - reset