Berita Berita
Kedudukan Shuhaily sebagai Ketua Pengarah AKPS akan ditentukan KSN, KDN - Saifuddin
KULAI 25 Okt – Kedudukan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) susulan dua pertuduhan yang dihadapinya di mahkamah akan ditentukan mengikut peraturan pentadbiran awam sedia ada.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu akan diputuskan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menurutnya, setiap penjawat awam tertakluk kepada peraturan pentadbiran yang menetapkan prosedur tertentu sekiranya berdepan tindakan undang-undang.
“Penjawat awam ini tertakluk kepada pentadbiran, kerana pentadbiran awam mempunyai peraturan untuk menguruskan keadaan sedemikian.
“Dalam kes ini, kedudukan beliau (Mohd. Shuhaily) akan ditentukan,” katanya di sini, semalam.
Rabu lalu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di mahkamah terhadap dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis.
Dalam perkembangan berasingan, Saifuddin Nasution turut mengulas kritikan pemimpin pembangkang yang mendakwa beliau gagal memainkan peranan sebagai orang tengah sehingga pertikaian berkenaan berakhir dengan pendakwaan di mahkamah.
Beliau berkata, pihaknya terbuka menerima sebarang teguran, termasuk daripada pemimpin pembangkang, namun pada masa sama mengingatkan bahawa parti pembangkang juga pernah berdepan konflik dalaman.
“Saya menyambut baik teguran terutamanya yang datang daripada Ahli Parlimen pembangkang yang parti mereka sendiri pun berpecah dan berkecai disebabkan kegagalan mereka menjadi pendamai.
“Sebagai contoh Machang, parti mereka pecah dua iaitu satu menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dan satu lagi menyokong Datuk Seri Hamzah Zainudin malah Pas juga pernah berpecah sehingga melahirkan Parti Amanah Negara.
“Hakikat bahawa perpecahan berlaku sehingga melahirkan parti baharu adalah akibat kegagalan mereka untuk menjadi pendamai namun begitu saya tetap menerima baik teguran tersebut,” katanya.
Berita berkaitan
October 25, 2026, 3:56 pm
Pelajar Tingkatan Enam terima elaun RM2,500 mulai 2027 – Fadhlina
October 25, 2026, 2:23 pm
Jalur Gemilang dipasang terbalik di Melbourne, NGO mahu status Sabah dan Sarawak dinilai semula
October 25, 2026, 1:35 pm
PH ubah strategi di Melaka, pertaruh 21 calon berbanding 28 sebelum ini
October 25, 2026, 12:03 pm
Lelaki maut tertimbus tanah runtuh belakang rumah, isteri dan anak sempat selamatkan diri
October 25, 2026, 11:49 am
Politik kebencian, permusuhan kaum tidak bawa negara ke mana-mana - Anwar
October 24, 2026, 7:48 pm
Dua lelaki ditemukan lemas ketika mandi sungai di Tanjung Rambutan
October 24, 2026, 4:45 pm
