TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki berdepan hukuman mati didakwa bunuh isteri pegawai AKPS di kuarters KLIA

By
|
Kongsi
image

SEREMBAN 26 Okt – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan membunuh isterinya yang bertugas sebagai pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), dalam kejadian di Kompleks Perumahan Penjawat Awam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal bulan ini.

Tertuduh, Mohd Khairudin Safi’ai, 37, didakwa menyebabkan kematian isterinya, Norhazwani Ibrahim, 35, di sebuah rumah di kompleks perumahan berkenaan di Nilai, kira-kira jam 7 malam pada 15 Oktober lalu.

Mohd Khairudin dilihat mengangguk tanda memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes pembunuhan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.

Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, tertuduh juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat mangsa.

+ - reset