TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Fadhlina arah JPN Perak siasat kes pengetua didakwa hantar mesej romantik kepada pelajar Tingkatan 3

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 26 Okt – Seorang pengetua sekolah menengah kerajaan di Perak yang dikaitkan dengan dakwaan gangguan seksual terhadap pelajar ditempatkan sementara di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bagan Datuk sehingga siasatan selesai.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menjalankan siasatan berhubung dakwaan yang tular di media sosial itu.

Perkara berkenaan dimaklumkan Fadhlina menerusi ruangan komen di akaun Threads miliknya pada Isnin, susulan penularan hantaran yang membangkitkan dakwaan salah laku melibatkan pengetua terbabit.

Terdahulu, satu hantaran di media sosial menarik perhatian ramai apabila menggesa ibu bapa dan masyarakat sekitar Teluk Intan supaya lebih berwaspada terhadap dakwaan gangguan seksual membabitkan seorang pengetua sekolah menengah kerajaan.

Antara dakwaan yang dibangkitkan termasuk penghantaran mesej berunsur romantik kepada seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga, selain dakwaan mengenai hubungan sulit.

Hantaran itu turut meminta pihak berkaitan memandang serius perkara berkenaan demi menjaga keselamatan dan kebajikan pelajar serta memastikan semua dakwaan disiasat secara menyeluruh.

Dalam perkembangan berkaitan, sebuah rakaman video turut tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki dipercayai pengetua berkenaan berhadapan dengan beberapa wanita yang mahu mendapatkan penjelasan daripadanya.

Bagaimanapun, kesahihan dakwaan terhadap pengetua itu masih belum diputuskan dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa pendidikan.

Sebarang perkembangan mengenai kes berkenaan dijangka diketahui selepas siasatan selesai dijalankan.

+ - reset