Berita Berita
Pramugara didakwa memandu mabuk hingga ragut nyawa pekerja penyelenggaraan
KUALA LUMPUR 26 Okt – Seorang pramugara dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas dua pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang pekerja penyelenggaraan dan mencederakan seorang lagi dalam kejadian Sabtu lalu.
Tertuduh, Mohd Iman Nafiz Fong Mohd Sabirin, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Iman didakwa memandu sebuah kereta Ford Focus Sport dengan kandungan alkohol dalam darah sebanyak 64 miligram (mg) bagi setiap 100 mililiter (ml), melebihi had dibenarkan iaitu 50 mg/100 ml.
Perbuatan itu didakwa menyebabkan kematian Faris Irfan Fazli, 29, di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke Jalan Parlimen, kira-kira jam 4.09 pagi pada 24 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda RM50,000 hingga RM100,000 jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya 10 tahun.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memandu kenderaan sama di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan terhadap Ahmad Zakiyamani Zakaria @ Yusuff, 49, di lokasi dan waktu yang sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44(1A)(b) APJ 1987 yang membawa hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun serta denda RM30,000 hingga RM50,000 jika disabitkan kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan sebanyak RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
"Saya memohon lesen memandu tertuduh digantung dan pasportnya diserah ke mahkamah kerana tertuduh beralamat di Kuching, Sarawak, dan mempunyai risiko melarikan diri," katanya.
Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Mohd Anif Rafih memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan kepada RM30,000 bagi keseluruhan pertuduhan.
"Pembelaan tidak membantah penggantungan lesen, namun membantah berkenaan penyerahan pasport.
"Anak guam saya memerlukan pasport bagi menjalankan pekerjaan hakikinya sebagai pramugara syarikat penerbangan.
"Beliau masih bujang, namun pencari nafkah tunggal dan menanggung orang tuanya termasuk bapa pesakit jantung dan sedang menerima rawatan di hospital," katanya.
Mohd Anif turut mencadangkan supaya anak guamnya diarahkan melapor diri di balai polis sebulan sekali sebagai alternatif kepada penyerahan pasport.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM35,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu Mohd Iman digantung berkuat kuasa Isnin, selain mengarahkan tertuduh melapor diri di balai polis pada setiap 1 hari bulan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 November depan bagi tujuan penyerahan dokumen.
Terdahulu, media melaporkan dua pekerja penyelenggaraan maut selepas dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki berusia 26 tahun yang didapati mempunyai kandungan alkohol dalam darah melebihi had dibenarkan.
Berita berkaitan
October 26, 2026, 3:32 pm
Bantuan khas RM1,000 pemandu teksi meliputi seluruh negara, bukan Melaka sahaja
October 26, 2026, 3:09 pm
Syarat simpanan minimum RM15,000 Tabung Haji berjaya kurangkan penangguhan giliran haji
October 26, 2026, 3:04 pm
Ahmad Samsuri belum fikir soal calon PM, keutamaan PN fokus menang PRU16
October 26, 2026, 1:47 pm
Fadhlina arah JPN Perak siasat kes pengetua didakwa hantar mesej romantik kepada pelajar Tingkatan 3
October 26, 2026, 11:40 am
Lelaki berdepan hukuman mati didakwa bunuh isteri pegawai AKPS di kuarters KLIA
October 26, 2026, 11:10 am
Orang ramai dinasihat elak aktiviti pantai di Bagan Lalang susulan kelibat buaya
October 26, 2026, 10:42 am
DUN Sarawak bubar secara rasmi hari ini beri laluan PRN13
October 26, 2026, 10:34 am
