TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

Anggota polis maut terkena bilah kipas pesawat

By
|
Kongsi
image

MOGADISHU 5 NOVEMBER – Seorang anggota polis Somalia maut selepas kepalanya terkena kipas pesawat yang masih berputar sejurus mendarat di sebuah lapangan terbang di tengah negara itu.

Mangsa, dikenali sebagai Mukhtar Qasim Samay, merupakan sebahagian daripada pasukan keselamatan yang mengiringi Ketua Polis Mogadishu, Ma’alin Mahdi.

Kejadian berlaku pada Selasa di Lapangan Terbang Dhusamareb ketika Mahdi bersama anggota pengiringnya tiba bagi menghadiri majlis perasmian pemimpin baharu negeri Galmudug, Liban Ahmed Hassan.

Menurut laporan media tempatan Somalia, Samay sedang berjalan meninggalkan pesawat apabila kipasnya yang belum berhenti berputar terkena kepalanya. Dia meninggal dunia di lokasi kejadian.

Rakaman video yang diperoleh PUNCH Online memaparkan sebuah pesawat berkembar kipas berwarna putih dengan tulisan STAR AIRLINES diparkir di landasan pada waktu malam. Sebuah tangga mudah alih dipasang pada pintunya yang terbuka, manakala kipas pesawat itu kelihatan masih berpusing ketika penumpang dan anggota keselamatan turun.

Klip berdurasi kira-kira 19 saat itu menunjukkan sekumpulan lelaki, termasuk pegawai keselamatan berpakaian seragam ala tentera serta individu berpakaian rasmi dan tradisional, berkumpul di sekeliling pesawat. Rakaman yang bergegar dan kurang jelas itu merakamkan keadaan kelam-kabut di lokasi.

Menjelang penghujung video, kelihatan kumpulan itu tiba-tiba bergerak cemas, diikuti pergerakan kamera yang ketara dan imej kabur. Bagaimanapun, detik hentaman maut tersebut tidak dapat dilihat dengan jelas.

Stesen televisyen Dalsan TV sebelum ini melaporkan bahawa Samay terkena kipas itu pada bahagian kepala ketika berjalan menjauhi pesawat selepas mendarat.

Allahyarham dikatakan anggota Pasukan Polis Somalia yang berkhidmat dalam unit Haramacad.

Susulan kematian itu, Mahdi Omar Mumin menyampaikan ucapan takziah menerusi hantaran di Facebook kepada keluarga, saudara-mara dan rakan sekerja arwah dalam pasukan polis.

“Innaa lillaahi wa innaa ilayhi raajicuun. Saya merakamkan ucapan takziah yang paling dalam kepada keluarga, saudara-mara, sahabat handai dan seluruh Pasukan Polis Somalia atas kematian mengejutkan ini,” tulisnya.

Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai antara wira Pasukan Polis Somalia, khususnya unit Haramacad.

“Semoga Allah merahmati Muqtar Qaasim Samay, yang merupakan salah seorang wira Pasukan Polis Somalia, terutamanya Haramacad,” katanya.

Mahdi berlepas ke Dhusamareb menjelang majlis pelantikan Hassan pada Khamis, satu acara yang dijangka dihadiri tokoh politik dan pegawai keselamatan.

Dhusamareb ialah ibu negeri pentadbiran bagi Galmudug, salah sebuah negeri anggota persekutuan Somalia.

Menurut portal berita tempatan Mustaqbal, kawalan keselamatan di bandar itu telah diperketatkan menjelang majlis tersebut.

+ - reset