Berita Berita
'Jangan sekadar kenyataan politik, Anthony Loke perlu tunai janji letak jawatan' – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR 6 Nov - Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menunaikan janjinya untuk meletakkan jawatan sekiranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan dari penjara bagi menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Ahmad Zahid berkata, Loke perlu berpegang pada pendiriannya sebelum ini dan meletakkan jawatan serta-merta sekiranya Najib dibebaskan dari Penjara Kajang hari ini selepas pembayaran denda RM50 juta diselesaikan.
Menurutnya, janji yang dibuat Menteri Pengangkutan itu tidak seharusnya dianggap sekadar kenyataan politik, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan.
“Saya harap beliau akan menunaikan janjinya, saya berpendapat perkara ini bukan sekadar kenyataan politik.
“Beliau mesti berbuat demikian serta-merta sekiranya Datuk Seri Najib dibebaskan hari ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, UMNO mengesahkan semua proses pembayaran denda RM50 juta kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sudah diselesaikan pagi tadi sebagai memenuhi syarat pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, kutipan dana menerusi Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 September lalu telah mencapai sasaran dan mencukupi untuk menjelaskan denda berkenaan.
Bagaimanapun, pembayaran denda itu tidak dengan sendirinya mengesahkan Najib sudah dibebaskan dari penjara.
Pada 29 September lalu, Loke memaklumkan beliau sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun diminta untuk terus menjalankan tugas sebagai Menteri Pengangkutan buat sementara waktu.
Terdahulu, pada 18 September, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
Mengikut ketetapan berkenaan, Najib perlu mematuhi semua syarat yang ditetapkan sepanjang menjalani tahanan di rumah.
Sekiranya gagal mematuhi mana-mana syarat, pengampunan bersyarat itu akan terbatal dan beliau perlu kembali ke penjara serta-merta untuk meneruskan baki hukuman.
Sebagai rekod, Najib sebelum ini menjalani hukuman penjara enam tahun di Penjara Kajang selepas Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman asal 12 tahun pada Februari 2024.
Denda asal RM210 juta yang dikenakan terhadapnya turut dikurangkan kepada RM50 juta.
Bekas Perdana Menteri itu mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International.
Najib didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta milik SRC International, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau pada asalnya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta sebelum dibawa ke Penjara Kajang pada hari sama untuk memulakan hukuman.
Berita berkaitan
November 6, 2026, 11:53 pm
'Sampai bila?' – Nooryana Najwa luah rasa sedih, kecewa penangguhan tahanan rumah Najib
November 6, 2026, 11:48 pm
‘Bebaskan Najib serta-merta!’ – Peguam bidas tindakan AGC sangsi perintah tahanan di rumah
November 6, 2026, 9:34 pm
Najib kembali ke Penjara Kajang malam ini
November 6, 2026, 6:46 pm
Muhyiddin gesa kerajaan perjelas peraturan dan syarat tahanan di rumah Najib Razak
November 6, 2026, 6:28 pm
Dua remaja ditahan edar vape berisi dadah kepada pelajar di Negeri Sembilan
November 6, 2026, 6:20 pm
AGC tangguh pelaksanaan tahanan di rumah Najib Razak susulan kekeliruan interpretasi undang-undang
November 6, 2026, 5:24 pm
Anthony Loke umum letak jawatan berkuat kuasa serta merta
November 6, 2026, 4:38 pm
