TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Najib kembali ke Penjara Kajang malam ini

By
|
Kongsi
image

 

KAJANG 6 Nov – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat kembali ke Penjara Kajang pada Jumaat malam selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), ketika pelaksanaan tahanan rumah terhadapnya berdepan penangguhan bagi mendapatkan penjelasan lanjut dari sudut perundangan.

Konvoi yang membawa bekas Ahli Parlimen Pekan itu, termasuk sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 berwarna kelabu, dilihat tiba di kompleks Penjara Kajang kira-kira jam 7.15 malam dengan diiringi kenderaan Jabatan Penjara Malaysia.

Perkembangan itu berlaku beberapa jam selepas Najib, 73, dilaporkan selesai menjelaskan denda RM50 juta dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, sekali gus mencetuskan jangkaan beliau bakal menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) lewat petang Jumaat menyatakan pendirian bahawa pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib wajar ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menurut AGC, terdapat persoalan perundangan berhubung perintah bertarikh 18 September 2026, khususnya mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib dalam kes SRC International.

"Terdapat dua interpretasi yang perlu diberikan penelitian lanjut, pertama ialah pembayaran denda RM50 juta hanya memenuhi komponen hukuman denda, manakala hukuman penjara bagi kes SRC International masih berjalan sehingga 23 Ogos 2028.

"Dalam keadaan itu, tahanan di rumah adalah kaedah atau tempat alternatif untuk menjalani baki hukuman penjara dan bukannya penamatan hukuman berkenaan.

"Kedua, pembayaran denda RM50 juta adalah syarat yang membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya, sekali gus membawa kesan keseluruhan hukuman bagi kes SRC International, termasuk hukuman penjara, dianggap selesai," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Najib dilaporkan dibawa keluar dari kompleks Penjara Kajang pada sebelah petang sebelum menjalani pemeriksaan kesihatan di HKL.

Menurut sumber, bekas Perdana Menteri itu kembali ke penjara selepas selesai pemeriksaan kerana masih terdapat beberapa urusan yang perlu diselesaikan sebelum sebarang pergerakan seterusnya.

Pada Jumaat, peguam Najib, Muhammad Farhan Shafee mengesahkan bayaran denda RM50 juta telah diselesaikan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pembayaran berkenaan merupakan antara syarat pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Sebagai rekod, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya dan mengekalkan sabitan serta hukuman itu, sekali gus menyaksikan Najib mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada hari sama.

Beliau kemudian mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 2 September 2022 sebelum permohonan tersebut dipertimbangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024.

Keputusan Lembaga Pengampunan yang diumumkan pada Februari 2024 menyaksikan hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda diturunkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

+ - reset