Berita Berita
'Jejak dari mana sumber wang itu' - Tony Pua gesa BNM, SPRM siasat sumber dana RM50 juta bayar denda Najib
KUALA LUMPUR 6 Nov – Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan audit terhadap sumber dana RM50 juta yang dikumpulkan UMNO bagi melunaskan denda bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan semua sumbangan yang diterima menerusi Tabung Solidariti Najib Razak diperoleh daripada sumber yang sah dan tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.
Menerusi hantaran di Facebook, Pua turut mempersoalkan keputusan UMNO menggunakan dana yang dikumpulkan untuk membayar denda Najib berbanding menyalurkannya bagi membantu rakyat.
“Lebih penting lagi saya menyeru BNM dan SPRM supaya mengaudit jejak wang yang masuk ke dalam akaun derma UMNO untuk Najib, bagi memastikan segala dana yang diraih adalah sah dan bukannya hasil pengubahan wang haram.
“UMNO mendakwa berjaya mengumpul RM50 juta untuk membawa pulang penjenayah terbesar Malaysia, Najib Razak bagi menjalani tahanan di rumah,” katanya.
Pua turut menyifatkan tindakan UMNO mengumpul dana berjumlah besar itu sebagai sesuatu yang memperlihatkan keutamaan parti berkenaan.
“Warna sebenar UMNO tampak begitu terserlah,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau kepercayaan supaya menilai pendirian UMNO dan Barisan Nasional (BN) berhubung isu tersebut.
Kenyataan itu dibuat susulan pengumuman Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa kutipan menerusi Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 September lalu telah mencapai sasaran RM50 juta.
Asyraf Wajdi turut mengesahkan semua proses pembayaran kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah diselesaikan pada Jumaat bagi memenuhi syarat pengampunan bersyarat yang diberikan kepada Najib.
Peguam Najib, Muhammad Farhan Shafee turut mengesahkan denda RM50 juta itu telah dijelaskan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Menurutnya, pihak pembelaan kini menunggu surat perintah pembebasan tahanan yang akan diserahkan kepada Jabatan Penjara Malaysia bagi membolehkan proses selanjutnya dilaksanakan.
Sebagai rekod, Najib mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Beliau pada asalnya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta sebelum Lembaga Pengampunan pada Januari 2024 memutuskan untuk mengurangkan hukuman kepada enam tahun penjara serta denda RM50 juta.
Pada 18 September lalu, Najib menerima pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Berita berkaitan
November 6, 2026, 11:53 pm
'Sampai bila?' – Nooryana Najwa luah rasa sedih, kecewa penangguhan tahanan rumah Najib
November 6, 2026, 11:48 pm
‘Bebaskan Najib serta-merta!’ – Peguam bidas tindakan AGC sangsi perintah tahanan di rumah
November 6, 2026, 9:34 pm
Najib kembali ke Penjara Kajang malam ini
November 6, 2026, 6:46 pm
Muhyiddin gesa kerajaan perjelas peraturan dan syarat tahanan di rumah Najib Razak
November 6, 2026, 6:28 pm
Dua remaja ditahan edar vape berisi dadah kepada pelajar di Negeri Sembilan
November 6, 2026, 6:20 pm
AGC tangguh pelaksanaan tahanan di rumah Najib Razak susulan kekeliruan interpretasi undang-undang
November 6, 2026, 5:24 pm
Anthony Loke umum letak jawatan berkuat kuasa serta merta
November 6, 2026, 5:05 pm
'Jangan sekadar kenyataan politik, Anthony Loke perlu tunai janji letak jawatan' – Ahmad Zahid
November 6, 2026, 4:38 pm
