Berita Berita
‘Bebaskan Najib serta-merta!’ – Peguam bidas tindakan AGC sangsi perintah tahanan di rumah
KUALA LUMPUR, 6 Nov. – Tetuan Shafee & Co., barisan peguam yang mewakili Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, secara rasmi mengeluarkan kenyataan tegas menolak tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mendakwa pelaksanaan tahanan di rumah terhadap anak guam mereka ditangguhkan sementara waktu.
Pihak pembelaan menegaskan bahawa semasa kenyataan media AGC dikeluarkan, anak guam mereka masih belum meninggalkan Penjara Kajang kerana proses pelepasan bagi membolehkan beliau menjalani tahanan di rumah sedang berjalan.
Bagi mengelakkan sebarang keraguan, pihak peguam menggariskan beberapa fakta penting yang tidak dipertikaikan termasuklah titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim pada 18 September 2026 di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang memperkenankan agar Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Denda berkenaan telah dijelaskan sepenuhnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 November 2026, yang turut menyaksikan Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah bermeterai kepada Pegawai yang Menjaga Penjara Kajang agar anak guam mereka dilepaskan dengan serta-merta (forthwith) berhubung perintah denda tersebut.
Tetuan Shafee & Co. turut membangkitkan bahawa Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri selaku urus setia Lembaga Pengampunan telah membuat pengumuman terbuka pada 18 September 2026 yang menyatakan anak guam mereka akan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah tertakluk kepada bayaran denda RM50 juta tanpa membangkitkan sebarang persoalan interpretasi.
Pihak peguam menegaskan bahawa frasa yang kini dijadikan isu oleh AGC sebenarnya adalah perkataan Kerajaan sendiri, dan selama tempoh tujuh minggu, AGC tidak pernah membangkitkan sebarang persoalan mengenainya sehinggalah denda tersebut dibayar.
Pada 6 November 2026 iaitu hari yang sama kenyataan AGC dikeluarkan, Menteri Dalam Negeri telah mengisytiharkan semua bangunan dan kawasan di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur (kediaman anak guam mereka) sebagai "suatu penjara bagi maksud Akta bagi pemenjaraan atau penahanan orang dalam jagaan sah" (P.U. (B) 456) di bawah Seksyen 3 Akta Penjara 1995, yang disiarkan menerusi Warta Kerajaan Persekutuan oleh AGC sendiri.
Di sisi undang-undang, kediaman tersebut kini merupakan sebuah penjara di bawah Akta Penjara 1995 di bawah kuasa Komisioner Jeneral Penjara, yang bermaksud memindahkan anak guam mereka ke sana tidak mengeluarkan beliau daripada jagaan sah, sebaliknya hanya memindahkan beliau dari satu penjara warta ke penjara warta yang lain selaras dengan titah Seri Paduka Baginda.
Oleh itu, pihak peguam menyifatkan tindakan AGC menegaskan agar Najib kekal di Penjara Kajang sementara mendapatkan penjelasan sebagai suatu tindakan yang tidak logik dan tidak berasas.
Pihak pembelaan turut mendedahkan bahawa Peguam Negara sentiasa konsisten dan terbuka menyatakan sepanjang tujuh minggu lalu bahawa pembayaran denda ialah satu-satunya perkara yang masih menghalang anak guam mereka daripada menjalani tahanan di rumah, tanpa membangkitkan sebarang sekatan atau kesukaran mentafsirkan perintah pengampunan.
Sebagai anggota Lembaga Pengampunan di bawah Perkara 42(5) Perlembagaan Persekutuan yang turut hadir dalam mesyuarat pada 18 September 2026, Peguam Negara sepatutnya membangkitkan sebarang kebimbangan terma pengampunan dalam mesyuarat tersebut, dan bukannya bersuara buat kali pertama hanya selepas denda dibayar.
Tetuan Shafee & Co. menegaskan bahawa Perintah Pengampunan adalah titah Seri Paduka Baginda yang nyata dengan menetapkan satu syarat sahaja iaitu pembayaran denda, dan syarat itu telah dipenuhi sepenuhnya.
Dakwaan Peguam Negara mengenai wujudnya kekeliruan berhubung perintah Mahkamah Tinggi disifatkan langsung tidak bermerit kerana kekeliruan tersebut dicipta oleh Peguam Negara sendiri, manakala "dua interpretasi" berhubung kesan pengampunan tidak memberikan hak kepada AGC untuk enggan melaksanakan terma nyata sesuatu pengampunan diraja.
Pihak peguam memberi amaran keras bahawa pendirian Peguam Negara menangguhkan prerogatif pengampunan diraja, sekurang-kurangnya merupakan suatu penghinaan terhadap Seri Paduka Baginda malah mungkin suatu penderhakaan, kerana kuasa pengampunan terletak semata-mata pada Seri Paduka Baginda dan tidak boleh dilaksanakan oleh mana-mana pihak lain seperti yang pernah diakui sendiri oleh AGC pada Disember 2025.
Perintah Pengampunan ditujukan kepada Komisioner Jeneral Penjara dan bukannya Peguam Negara, di mana tiada peruntukan dalam Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan membenarkan Peguam Negara menangguhkan pengampunan diraja atau perintah mahkamah bermeterai melalui kenyataan media yang melampaui batas eksekutif.
Sekiranya AGC benar-benar mempunyai persoalan mengenai perintah mahkamah, saluran yang betul adalah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi dan bukannya mengeluarkan kenyataan media untuk menangguhkan titah diraja.
Berhubung rujukan AGC terhadap kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pihak pembelaan menegaskan ia tidak mengubah apa-apa kerana kes tersebut sedang melalui prosiding tersendiri dan hukuman penjaranya tidak boleh berkuat kuasa selagi hukuman kes SRC International belum selesai, serta langsung tiada kaitan dengan kewajipan pelaksanaan Perintah Pengampunan kes SRC.
Sehubungan itu, sebarang keputusan untuk terus menahan anak guam mereka di Penjara Kajang atas dasar kenyataan AGC adalah tidak mengikut undang-undang dan bercanggah dengan Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.
Tetuan Shafee & Co. menggesa Komisioner Jeneral Penjara supaya menyempurnakan pelepasan Najib untuk menjalani tahanan di rumah tanpa berlengah lagi, mendesak Peguam Negara menarik balik kenyataan media tersebut dengan serta-merta, serta mencabar AGC supaya membawa sebarang persoalan ke Mahkamah Tinggi sekiranya ada, memandangkan tiada lagi alasan sah di sisi undang-undang untuk menahan anak guam mereka di Penjara Kajang walau sesaat pun. — Media Telus
Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube
Berita berkaitan
November 6, 2026, 11:53 pm
'Sampai bila?' – Nooryana Najwa luah rasa sedih, kecewa penangguhan tahanan rumah Najib
November 6, 2026, 9:34 pm
Najib kembali ke Penjara Kajang malam ini
November 6, 2026, 6:46 pm
Muhyiddin gesa kerajaan perjelas peraturan dan syarat tahanan di rumah Najib Razak
November 6, 2026, 6:28 pm
Dua remaja ditahan edar vape berisi dadah kepada pelajar di Negeri Sembilan
November 6, 2026, 6:20 pm
AGC tangguh pelaksanaan tahanan di rumah Najib Razak susulan kekeliruan interpretasi undang-undang
November 6, 2026, 5:24 pm
Anthony Loke umum letak jawatan berkuat kuasa serta merta
November 6, 2026, 5:05 pm
'Jangan sekadar kenyataan politik, Anthony Loke perlu tunai janji letak jawatan' – Ahmad Zahid
November 6, 2026, 4:38 pm
