TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Sampai bila?' – Nooryana Najwa luah rasa sedih, kecewa penangguhan tahanan rumah Najib

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 6 Nov. – Nooryana Najwa meluahkan rasa sedih dan kecewa berikutan keputusan mendadak untuk menangguhkan sementara pelaksanaan perintah tahanan rumah terhadap bapanya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Anak kepada bekas Perdana Menteri itu menyifatkan hari tersebut sepatutnya menjadi detik gembira kerana seluruh ahli keluarga telah bersedia sejak pagi untuk menyambut kepulangan Najib ke kediaman mereka.

Beliau menceritakan bahawa keluarganya pada awalnya dimaklumkan bapanya akan dibawa pulang pada jam 5 petang sebelum masa itu dianjakkan kepada jam 8.30 malam, selain turut mendengar khabar mengenai usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menangguhkan pembebasan berkenaan sekitar jam 2 petang.

Bagaimanapun, keluarganya ketika itu masih menaruh keyakinan tinggi memandangkan perintah mahkamah yang dikeluarkan sepatutnya sudah mencukupi dari sudut pematuhan prosedur.

Nooryana turut mempertikaikan kewajaran tindakan pihak berkuasa yang menangguhkan proses tersebut meskipun kesemua syarat ditetapkan termasuk bayaran denda sebanyak RM50 juta telah dilunaskan sepenuhnya.

"Kalau ada syarat lain, mengapa ia tidak dimaklumkan dari awal? Dan jika masih ada halangan, mengapa bayaran RM50 juta itu diterima hari ini?" soal beliau sambil merujuk kepada pengalaman pahit keluarga mereka berhubung isu Titah Adendum sebelum ini.

Beliau menegaskan bahawa keluarganya hanya menuntut keadilan, ketelusan, penghormatan terhadap titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, serta kedaulatan undang-undang yang perlu ditegakkan.

Nooryana turut merakamkan penghargaan kepada para penyokong serta semua pihak yang tidak putus-putus memberikan sokongan moral dan menyumbang kepada Tabung Solidariti Najib, di samping menyeru agar rakyat terus bersuara serta menuntut keadilan.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan penangguhan sementara pelaksanaan tahanan di rumah terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesannya terhadap baki hukuman penjara dalam kes SRC International. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset