TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Suara petani diangkat di Durian Tunggal, Mat Sabu yakin calon PH mampu galas amanah ubah nasib penduduk

By
|
Kongsi
image

ALOR GAJAH 8 Nov - Isu pertanian yang menjadi antara perhatian penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya perlu ditangani secara berterusan dengan mengambil kira masalah sebenar yang dihadapi masyarakat setempat.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setiap aduan berkaitan sektor pertanian perlu diteliti secara khusus bagi memastikan penyelesaian terbaik dapat dicari demi kepentingan penduduk.

Beliau berkata, masalah pertanian bukan sesuatu yang boleh diselesaikan secara menyeluruh dalam tempoh singkat, justeru pendekatan berdasarkan kes demi kes perlu diberi keutamaan.

“Isu ni sampai bila pun dia akan ada. Jadi kita kalau isu-isu pertanian tu kita tengok case by case lah.

“Kalau ada aduan, kita buat cari penyelesaian yang terbaik lah. Sekadar yang kita boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena kempen calon Pakatan Harapan (PH) daripada AMANAH bagi DUN Durian Tunggal, Ashraf Minghat, di sini, semalam.

Kenyataan itu turut memberi gambaran mengenai kepentingan isu pertanian dalam kempen pilihan raya di Durian Tunggal, khususnya dalam usaha mendekati masyarakat yang bergantung kepada sektor berkenaan.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, sambutan menggalakkan terhadap program jualan agro di Melaka menunjukkan masyarakat menghargai inisiatif yang menawarkan barangan keperluan pada harga lebih rendah.

Menurutnya, program berkenaan mendapat perhatian penduduk kerana harga barangan yang ditawarkan sekitar 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding kedai lain.

“Kita nampak jualan agro dan sebagainya, sambutan memang cukup baik sekali.

“Kita pun tak tahu yang datang beli tu, dia nak ngundi apa. Tapi penduduk Melaka memang memberi sokongan. Sebab dia dapat murah lebih kurang 10 hingga 30% daripada kedai-kedai yang lain,” katanya.

Sementara itu, Mohamad turut menyifatkan perjalanan kempen PH sepanjang minggu pertama sebagai positif, termasuk usaha memperkenalkan calon baharu kepada masyarakat.

Katanya, meskipun sebahagian calon pertama kali diketengahkan, gerak kerja memperkenalkan mereka kepada pengundi berjalan lancar.

“Kita nampak setakat ini perkembangan baik lah. Dan ada yang calon itu telah dikenali, ada yang pertama kali diturunkan.

“Jadi usaha memperkenalkan calon kepada masyarakat itu, itu digiatkan dalam minggu pertama inilah. Alhamdulillah, setakat ini ia berjalan dengan lancar,” katanya.

Ashraf merupakan calon PH yang membawa cabaran AMANAH di DUN Durian Tunggal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadual berlangsung 14 November ini. - Media Telus

+ - reset