Berita Berita
Disyaki 'spy' Malaysia, Isa Isarb ditahan enam hari di Indonesia, bimbang berdepan hukuman mati
KUALA LUMPUR 8 Nov - Pempengaruh media sosial terkenal, Isa Isarb mendakwa dirinya bersama beberapa individu lain ditahan selama enam hari oleh pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki menjadi perisik Malaysia atau menerima bayaran daripada pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan negara itu.
Isa berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama pasukannya berada di Indonesia bagi menjalankan penggambaran dokumentari berkaitan isu jerebu.
Menurutnya, mereka pada mulanya dalam perjalanan menuju ke kawasan hutan terbakar sebelum terserempak dengan demonstrasi mahasiswa dan mengambil keputusan untuk singgah bagi menjalankan temu bual.
Bagaimanapun, tindakan itu menarik perhatian kira-kira 10 hingga 15 pegawai yang kemudian menghampiri kumpulan berkenaan sebelum mereka ditahan atas dakwaan menyalahgunakan visa pelancong.
“Tujuan sebenar kedatangan kami adalah untuk membuat penggambaran dokumentari jerebu. Pada hari kejadian, kami sedang dalam perjalanan ke kawasan hutan terbakar apabila terlihat orang ramai berkumpul di lokasi demonstrasi mahasiswa. Kami pun singgah untuk menemu bual beberapa orang di situ.
“Tidak lama kemudian, kami didatangi 10 hingga 15 pegawai. Salah seorang daripada mereka terus bertanya kepada saya, ‘Adakah kamu Isa Batharul?’, sedangkan saya lebih dikenali dengan nama ‘Isa Isarb’. Mendengar mereka menyebut nama itu, saya mula merasakan ada sesuatu pelik sedang berlaku,” katanya menerusi kenyataan di Threads, hari ini.
Isa mendakwa, mereka kemudian dibawa ke balai polis untuk disoal siasat selain diminta membuka telefon bimbit bagi membolehkan pihak berkuasa memeriksa kandungan serta tujuan sebenar kedatangan mereka.
Keadaan menjadi semakin mencemaskan apabila kira-kira 40 lagi anggota termasuk pasukan keselamatan siber dan pegawai atasan tiba di balai berkenaan pada keesokan harinya.
Menurut Isa, pihak berkuasa Indonesia kemudian mengesyaki mereka sebagai perisik Malaysia selepas menemui rekod komunikasi dengan beberapa pemimpin politik negara ini.
Antara individu yang dikaitkan dengan komunikasi berkenaan ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Bagaimanapun, Isa menjelaskan komunikasi tersebut hanya membabitkan urusan jemputan temu bual bagi dokumentari jerebu yang sedang diusahakan pasukannya.
Dia turut mendakwa jemputan ke Parlimen Malaysia pada minggu sama menambahkan lagi kecurigaan pihak berkuasa Indonesia terhadap tujuan sebenar pergerakan mereka.
“Ya Allah, kami sangat takut membayangkan hukuman penjara 20 tahun atau hukuman mati melalui tembakan sekiranya disabitkan dengan kesalahan pengintipan.
“Sepanjang enam hari berikutnya, kami berada dalam ketakutan dan terus disoal siasat setiap hari. Ada ketika saya merasakan seolah-olah sudah tiada harapan. Akhirnya, kami hanya mampu menerima takdir sambil terus memberikan kerjasama penuh,” katanya.
Isa berkata, sepanjang berada dalam tahanan, dia turut mengalami serangan panik selain sentiasa memikirkan nasib isteri dan anaknya sekiranya dikenakan hukuman berat.
Malah, dia mendakwa pernah melukis wajah ahli keluarganya pada dinding lokap menggunakan pin besi daripada surat tahanan bagi mengubat kerinduan.
Bagaimanapun, Isa bersyukur apabila dia bersama pasukannya akhirnya berjaya pulang ke Malaysia, yang menurutnya hasil hubungan baik antara kerajaan kedua-dua negara.
Dia turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Indonesia atas layanan sepanjang siasatan serta kerajaan Malaysia yang membantu mereka ketika berdepan situasi berkenaan.
Dalam pada itu, Isa memaklumkan akan berkongsi pengalaman penahanan tersebut secara lebih terperinci menerusi saluran YouTube miliknya pada 16 November ini.
Katanya, penerbitan video berkenaan sengaja ditangguhkan bagi mengelakkan insiden itu dijadikan bahan kempen politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November.
Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa Indonesia berhubung dakwaan pengintipan dan butiran penahanan seperti yang diceritakan Isa.
Berita berkaitan
November 8, 2026, 3:34 pm
Suara petani diangkat di Durian Tunggal, Mat Sabu yakin calon PH mampu galas amanah ubah nasib penduduk
November 8, 2026, 3:04 pm
Apandi Ali pertahan pengampunan rumah Najib Razak, tegaskan pendirian Peguam Negara tidak munasabah
November 8, 2026, 2:57 pm
PGIRM bidas Kerajaan dan ahli politik sibuk bertelingkah, tuntut penjelasan telus nasib pencarum KWSP
November 8, 2026, 2:46 pm
Pelakon Cico Harahap, anak artis legenda Uji Rashid meninggal dunia pada usia 48 tahun
November 8, 2026, 1:00 pm
Pengakuan keluar Islam tular, JAKIM sahkan individu disyaki berada di luar negara
November 8, 2026, 12:55 pm
KKM siasat dakwaan keracunan makanan babitkan produk roti tular
November 8, 2026, 12:30 pm
Majlis Media Malaysia gesa Media Mulia perjelas status pekerja Utusan Malaysia dan Kosmo!
November 8, 2026, 12:26 pm
Adam Adli gesa pengundi muda Melaka tolak politik kebencian, pilih pemimpin berintegriti
November 8, 2026, 12:21 pm
