TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Peniaga simpan ayam sejuk beku dari Thailand tanpa lesen dicekup

By
|
Kongsi
image

KOTA BHARU, 11 Nov. – Seorang peniaga ayam sejuk beku yang disyaki memperoleh bekalan antara 300 hingga 500 kotak daripada pembekal di Thailand ditahan selepas premis borong miliknya di Jalan Pasir Puteh, Kampung Pasir Tumboh diserbu pihak berkuasa semalam.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Ahmad Radzi Hussain memaklumkan bahawa lelaki berusia 38 tahun itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari menerusi serbuan Ops Salju Mega yang dijalankan oleh Cawangan Risik Batalion 8 PGA dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

Dalam serbuan itu, pasukan operasi menemukan 209 kotak ayam sejuk beku seberat 2,508 kilogram bernilai RM42,845 yang disimpan di dalam sebuah kontena sejuk beku di premis berkenaan.

Walaupun suspek mendakwa bekalan terbabit dibawa masuk secara sah menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), pemeriksaan mendapati dia gagal mengemukakan sebarang dokumen perniagaan, pemilikan, serta kebenaran menyimpan yang sah.

Susulan itu, MPKB-BRI mengeluarkan notis kesalahan dan tawaran kompaun terhadap lelaki berkenaan atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen sah serta membuang kekotoran di tempat awam, manakala barang rampasan dan dokumen berkaitan turut dipanjangkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kelantan untuk tindakan lanjut. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset