TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

JPJ buru pelumba haram, 17 kes dikesan dalam tempoh tiga minggu, paling tinggi di KL

By
|
Kongsi
image

 

PETALING JAYA 15 Nov - Sebanyak 17 kes kegiatan lumba haram dan menduga kelajuan dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Operasi Khas Ekstrem Lumba Haram yang dilaksanakan sejak 25 Oktober hingga semalam.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, Kuala Lumpur mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 14 kes, diikuti Selangor dengan dua kes dan Pulau Pinang satu kes.

Menurutnya, daripada keseluruhan kes yang direkodkan, enam sudah dibawa ke mahkamah dengan empat daripadanya dikenakan hukuman denda antara RM2,300 hingga RM2,500.

“Enam kes sudah dibawa ke mahkamah dengan empat daripadanya dikenakan denda antara RM2,300 hingga RM2,500.

“Dua kes lagi membabitkan pengeluaran waran tangkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aedy Fadly menegaskan, JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan lumba haram kerana perbuatan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengancam nyawa dan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Sehubungan itu, katanya, operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan secara tegas dan berfokus bagi membanteras kegiatan berbahaya tersebut.

“Penguatkuasaan itu dibuat mengikut Seksyen 42A Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang mula berkuat kuasa pada 16 Oktober lalu,” katanya.

Operasi Khas Ekstrem Lumba Haram merupakan antara langkah penguatkuasaan JPJ bagi menangani kegiatan perlumbaan haram dan perbuatan menduga kelajuan di jalan raya yang boleh mengundang kemalangan serta membahayakan orang awam.

+ - reset