Berita Berita
KESUMA, HRD Corp salur bantuan hampir RM1 juta bantu 1,500 mangsa banjir di Sungai Buloh
SUNGAI BULOH 15 Nov – Sebanyak 1,500 keluarga terjejas banjir di sekitar Sungai Buloh menerima barangan keperluan asas dan perkakas rumah bernilai hampir RM1 juta bagi membantu mereka memulihkan kehidupan selepas bencana itu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, sumbangan itu disalurkan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Human Resource Development Corporation (HRD Corp).
“Ini merupakan bantuan yang sangat penting sebab ia adalah keperluan asas seperti ketuhar gelombang mikro, dapur gas, seterika, hos dan pengawal atur gas, cerek elektrik, periuk nasi, pengisar dan tong gas,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata demikian ketika ditemui pemberita sebelum menyertai konvoi penghantaran Sumbangan Santuni Kasih MADANI ke beberapa rumah mangsa banjir, semalam.
Turut hadir, Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz.
Menurut Ramanan, penerima bantuan Program Santuni Kasih MADANI itu membabitkan penduduk Kampung Melayu Subang, Kampung Kubu Gajah, Kampung Paya Jaras Hilir, Kampung Merbau Sempak, Kampung Sungai Pelong, Kampung Paya Jaras Tengah dan Kampung Paya Jaras Dalam.
Dalam pada itu, beliau berkata, bantuan RM1,250 akan diberikan kepada keluarga mangsa banjir yang tidak layak menerima bantuan tunai tambahan khas sekali beri RM2,500 kepada setiap Ketua Isi Rumah di Selangor, yang mula dibayar Selasa lalu.
“Yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini adalah untuk yang telah mendaftar, dia dapat RM2,500. Mereka yang tidak mendaftar jangan risau, mereka akan dapat separuh iaitu RM1,250,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri memberikan bantuan RM500 kepada mangsa yang mendaftar ketika berada di pusat pemindahan sementara (PPS).
Mengulas langkah menangani banjir di kawasan berkenaan, Ramanan berkata, lebih banyak kolam tadahan akan dibina, selain kerja mendalamkan sungai dilaksanakan sementara menunggu projek rancangan tebatan banjir disiapkan.
Katanya, banjir di kebanyakan kawasan terjejas sudah surut, namun kejadian sama dikhuatiri berulang sekiranya hujan lebat berlaku.
Sehubungan itu, Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh bersama pelbagai agensi sentiasa bersiap siaga untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa sekiranya berlaku lagi bencana banjir.
Berita berkaitan
November 15, 2026, 4:55 pm
PERKESO salur RM20.23 juta menerusi LINDUNG 24 Jam, lebih 12,000 pencarum dan waris terima manfaat
November 15, 2026, 4:17 pm
BN-PN menang PRN Melaka, esok diisytihar cuti khas negeri
November 15, 2026, 3:01 pm
‘Dulu pecat orang, sekarang sendiri dipecat’ – Tun Mahathir sindir musuh politik
November 15, 2026, 12:37 pm
Kuasa viral akhirnya tumpas 'ulat parkir’ di MRT Maluri
November 15, 2026, 12:06 pm
Penolong Jurutera JKR maut terkena kabel ketika selenggara jalan di Gerik
November 15, 2026, 11:39 am
PRN Melaka: DAP pertahan empat kerusi bukti parti masih dapat sokongan pelbagai kaum
November 15, 2026, 10:16 am
