TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Syarikat Malaysia tembusi Timor-Leste, MYTF Events terajui forum perdagangan antarabangsa libatkan 350 delegasi

By
|
Kongsi
image

 

DILI 15 Nov - Syarikat pengurusan acara antarabangsa dari Malaysia, My Events International mengukuhkan kedudukannya di Timor-Leste menerusi penubuhan syarikat usaha sama tempatan, MYTF Events, yang diberi kepercayaan mengendalikan Dili International Trade Forum 2026 pada 17 November ini.

Penganjuran forum berkenaan menjadi pencapaian penting buat syarikat itu apabila berjaya mengembangkan operasinya daripada menguruskan misi perdagangan rentas sempadan kepada penubuhan entiti perniagaan berdaftar secara tetap di Dili.

Forum anjuran Kementerian Perdagangan dan Industri Timor-Leste (MCI) itu akan berlangsung di GMN Multipurpose Hall, Dili, bersempena penganjuran ekspo perdagangan tahunan utama negara berkenaan, Dili International Trade Expo (DITE).

Acara berkenaan dijangka menghimpunkan seramai 350 delegasi, terdiri daripada 150 wakil antarabangsa dan 200 delegasi tempatan, sekali gus menyediakan platform strategik bagi memperkukuh perdagangan rentas sempadan, membuka peluang pelaburan serta menjalinkan kerjasama perniagaan.

Penubuhan MYTF Events turut mencerminkan komitmen My Events International dalam memperkasa bakat tempatan dan membangunkan infrastruktur pengurusan acara yang mampan di Timor-Leste.

Melalui kerjasama itu, MYTF Events menggabungkan piawaian antarabangsa dalam industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) dengan kepakaran serta jaringan rakan strategik tempatan.

Pendekatan tersebut sekali gus membuktikan keupayaan syarikat tempatan untuk berkembang dan bersaing dalam industri pengurusan acara di peringkat antarabangsa.

Inisiatif berkenaan diterajui dua Pengarah MYTF Events, Datin Wira Sabrina dan Olivio, bersama Pengurus Besarnya, Dailan Muhammad Ravi.

Mengulas perkembangan itu, Dailan turut merakamkan penghargaan kepada bekas Duta Besar Malaysia ke Timor-Leste, Datuk Amarjit Singh Sarjit Singh, atas jemputan awal serta peranan penting beliau dalam merealisasikan penganjuran MyExpo Dili sebelum ini.

Menurutnya, penganjuran ekspo perdagangan tersebut menjadi titik permulaan kepada pembentukan kepercayaan dan jaringan perdagangan yang akhirnya membuka laluan kepada My Events International untuk mewujudkan operasi tetap di Dili.

Dalam pada itu, pengurusan MYTF Events turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Perdagangan dan Industri Timor-Leste, Filipus Nino Pereira, atas keyakinan serta kepercayaan yang diberikan kepada syarikat berkenaan untuk mengendalikan acara yang mempunyai kepentingan strategik kepada pembangunan ekonomi negara itu.

Dili International Trade Forum 2026 dilihat berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Timor-Leste, khususnya ketika negara berkenaan sedang mempergiat usaha mempelbagaikan sumber ekonominya.

Pertemuan yang menghimpunkan 150 pelabur antarabangsa, pemimpin industri dan wakil perdagangan bersama 200 usahawan serta pembuat dasar tempatan itu dijangka membuka ruang kepada perbincangan pelaburan dan kerjasama ekonomi yang lebih meluas.

Usaha tersebut juga selaras dengan agenda kerajaan Timor-Leste untuk mengurangkan kebergantungan terhadap sektor petroleum melalui pembangunan sektor ekonomi alternatif dan pengukuhan hubungan perdagangan antarabangsa.

Sebagai sebuah syarikat pengurusan acara dan pemudah cara perdagangan antarabangsa, My Events International mempunyai operasi merentasi Malaysia, negara ASEAN dan Afrika.

Menerusi MYTF Events yang didaftarkan secara rasmi di Timor-Leste, syarikat itu komited untuk membantu menjadikan Dili sebagai hab serantau yang dinamik bagi penganjuran persidangan antarabangsa, pameran perdagangan dan forum pelaburan strategik.

Penubuhan entiti tempatan itu juga dijangka memperkukuh hubungan perniagaan antara Malaysia dan Timor-Leste, selain membuka lebih banyak peluang kerjasama ekonomi serta pembangunan industri acara di negara berkenaan.

+ - reset