TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PERKESO salur RM20.23 juta menerusi LINDUNG 24 Jam, lebih 12,000 pencarum dan waris terima manfaat

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 15 Nov - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah menyalurkan bayaran faedah berjumlah RM20.23 juta menerusi Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) setakat 31 Oktober lalu, sekali gus membuktikan keberkesanan perlindungan sosial kepada pekerja dan keluarga mereka.

Jumlah itu melibatkan seramai 12,582 pencarum dan waris yang layak menerima pelbagai faedah gantian pendapatan bagi membantu menjamin kelangsungan sosioekonomi apabila ditimpa kemalangan atau musibah.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, daripada keseluruhan penerima berkenaan, seramai 373 individu adalah dari Sabah dengan jumlah bayaran faedah melebihi RM481,000.

Menurutnya, peningkatan tuntutan faedah itu menunjukkan kepentingan skim perlindungan yang dapat membantu pekerja menghadapi risiko kemalangan tanpa mengira masa, tempat atau aktiviti.

“LINDUNG 24 Jam membuktikan ia bertindak sebagai perlindungan bagi memastikan pekerja dan keluarga mereka mendapat sokongan kewangan jika berlaku kemalangan, musibah boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira waktu, tempat atau aktiviti.

“Justeru, saya menyeru semua pekerja, khususnya di Sabah, supaya memastikan perlindungan skim ini kekal aktif.

“Pencarum yang pernah memilih untuk keluar (opt-out) digalakkan menyertai semula skim itu di kaunter LINDUNG 24 Jam yang disediakan sepanjang program,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama perasmian program Kenduri Rakyat i LINDUNG u @ Batu Sapi, Sabah.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairul Firdaus berkata, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui PERKESO turut memperkukuh usaha merancakkan pasaran buruh menerusi pelaksanaan Elaun Bantuan Mobiliti (EBM) yang berkuat kuasa sejak 1 Oktober lalu.

Katanya, kemudahan baharu susulan pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) itu telah menyalurkan bantuan berjumlah RM12,000 kepada 12 penerima yang layak.

Beliau menjelaskan, inisiatif tersebut bertujuan membantu pekerja memanfaatkan peluang peralihan kerjaya, termasuk mendapatkan pekerjaan di lokasi berbeza tanpa terlalu dibebani kekangan geografi.

“Kita mahu agar setiap peluang peralihan kerjaya berupaya dimanfaatkan sepenuhnya, tanpa dibatasi faktor geografi kerana Kerajaan memahami bahawa ada pelbagai faktor yang diambil kira apabila menimbangkan tawaran kerja.

“Justeru, EBM ini akan memberi manfaat sebaiknya buat orang berinsurans menerusi Akta 800 termasuk generasi muda di seluruh Sabah,” katanya.

Sementara itu, Khairul Firdaus berkata, penganjuran program Kenduri Rakyat i LINDUNG u mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan manfaat perlindungan sosial dapat dinikmati semua lapisan masyarakat, termasuk penduduk luar bandar dan pedalaman Sabah.

Menurutnya, pendekatan turun padang itu membolehkan rakyat mendapatkan maklumat, khidmat nasihat serta pelbagai perkhidmatan PERKESO secara terus tanpa perlu hadir ke pejabat agensi berkenaan.

“Antara perkhidmatan yang disediakan adalah Diskaun Faedah Caruman Lewat Bayar sehingga 80 peratus untuk majikan, saringan kesihatan percuma, kaunter LINDUNG Kasih, LINDUNG Kerjaya, LINDUNG Pekerja dan LINDUNG Kendiri,” katanya.

Selain PERKESO, program berkenaan turut melibatkan penyertaan pelbagai agensi di bawah KESUMA, termasuk Jabatan Tenaga Kerja Sabah, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Malaysia (JHEKS) dan Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP).

Turut menawarkan perkhidmatan ialah HRD Corp, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) serta Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Pada majlis sama, Khairul Firdaus turut menyampaikan plaka penghargaan kepada Kelab Belia Flat MPS Karamunting Sandakan yang muncul johan Anugerah Perdana Belia Negara 2025 Peringkat Negeri Sabah bagi Kategori Pertubuhan Belia.

Program berkenaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada perlindungan sosial, malah menjadi platform mengeratkan perpaduan dan integrasi kaum menerusi pelbagai aktiviti kebudayaan serta kekeluargaan masyarakat Sabah.

Antara pengisian yang diadakan termasuk pertandingan Tarian Igal-Igal, mewarna kanak-kanak dan pakaian tradisional.

Pengunjung turut berpeluang menyertai 100 cabutan bertuah dengan nilai hadiah keseluruhan RM80,000, selain menikmati persembahan artis popular tanah air dan tempatan seperti Amy Search, Amir Masdi, Bell Ngasri dan Enn Xaviera Gretchene Duirina serta ramai lagi.

+ - reset