TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penolong Jurutera JKR maut terkena kabel ketika selenggara jalan di Gerik

By
|
Kongsi
image

 

GERIK 15 Nov – Seorang Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) maut selepas terkena kabel telekomunikasi yang tertanggal akibat tersangkut pada muatan sebuah treler ketika kerja penyelenggaraan jalan dijalankan di Kilometer 71.4 Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu, di sini, semalam.

Mangsa, Mohamed Fitri Aslam Mohamed Jamaludin, 41, yang bertugas di JKR Hulu Perak disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 1.30 petang ketika pekerja sebuah syarikat konsesi penyelenggaraan jalan sedang menjalankan kerja penurapan semula di kawasan berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah lori yang membawa muatan tar terlebih dahulu mengangkat bahagian badan muatannya untuk menurunkan tar ke permukaan jalan.

Bagaimanapun, ketika badan lori itu diturunkan semula selepas selesai memunggah muatan, ia tersangkut pada kabel telekomunikasi yang merentangi jalan berkenaan.

"Selepas selesai menurunkan muatan, bahagian badan lori berkenaan tersangkut pada kabel sebuah syarikat telekomunikasi yang merentangi jalan ketika diturunkan semula ke kedudukan asal.

"Keadaan itu menyebabkan kabel berkenaan tertarik, kendur dan berjuntai pada paras lebih rendah daripada ketinggian asal," katanya dalam kenyataan.

Abdul Samad berkata, sebelum kabel yang kendur itu sempat dialihkan, sebuah treler jenis Hino membawa muatan mesin padi dari arah Gerik menuju ke Kuala Kangsar melalui kawasan berkenaan.

Katanya, muatan treler itu kemudian tersangkut pada kabel terbabit sehingga menyebabkannya tertarik dan tercabut daripada tiang.

Kabel yang tertanggal itu dipercayai terkena bahagian kepala mangsa sehingga menyebabkan kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Polis turut menahan treler terbabit untuk menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Abdul Samad menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan keselamatan dan peka terhadap keadaan sekeliling, terutama ketika melalui kawasan yang sedang menjalani kerja penyelenggaraan jalan.

+ - reset