Berita Berita
PRN Melaka: DAP pertahan empat kerusi bukti parti masih dapat sokongan pelbagai kaum
MELAKA 15 Nov – Kemenangan DAP di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 disifatkan sebagai bukti parti itu masih mendapat sokongan meluas daripada pengundi pelbagai kaum.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, kejayaan mempertahankan kerusi berkenaan amat bermakna selepas ramai pihak sebelum ini meramalkan parti itu bakal tewas susulan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, Ayer Keroh merupakan kawasan campuran dengan komposisi pengundi Melayu, Cina dan India yang agak seimbang, sekali gus menjadikan kemenangan itu sebagai petunjuk penting terhadap penerimaan pengundi.
“Ayer Keroh kawasan campuran dengan komposisi pengundi pelbagai kaum yang agak seimbang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Melaka.
Beliau berkata, keputusan pilihan raya itu membuktikan calon DAP masih mendapat kepercayaan pengundi meskipun berdepan saingan sengit daripada gabungan BN-PN.
Sebelum ini, penganalisis politik yang juga bekas Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming menyenaraikan Ayer Keroh antara kerusi berisiko tewas kepada gabungan berkenaan.
Berdasarkan komposisi pengundi, kaum Cina membentuk 46 peratus daripada keseluruhan pengundi Ayer Keroh, diikuti Melayu sebanyak 44.1 peratus dan India 8.2 peratus.
Pada PRN kali ini, calon DAP, Kerk Chee Yee berjaya mempertahankan kerusi tersebut selepas memperoleh 14,078 undi dengan majoriti 5,604 undi.
Beliau menewaskan Michael Gan daripada PN, Hamnaim Mohamad (Bersatu) dan Muhaimin Lau Abdullah daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Selain Ayer Keroh, DAP turut mengekalkan penguasaan di tiga lagi kerusi DUN iaitu Kota Laksamana, Kesidang dan Bandar Hilir.
Khoo berkata, kejayaan mempertahankan keempat-empat kerusi itu turut didorong hubungan erat yang telah lama dibina antara DAP dengan masyarakat Melaka sejak parti berkenaan mula bertapak di negeri itu pada 1969.
Bagaimanapun, beliau mengakui DAP berasa sedih apabila dua rakan komponennya dalam Pakatan Harapan (PH), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), gagal memenangi sebarang kerusi.
Beliau turut mendakwa BN dan PN menggunakan pendekatan politik identiti yang menekankan penyatuan Melayu dan Islam sepanjang kempen pilihan raya.
“Saya percaya strategi ini menyukarkan parti komponen kami dalam pilihan raya kali ini,” katanya merujuk kepada kegagalan Amanah dan PKR meraih kemenangan.
Berita berkaitan
November 15, 2026, 5:21 pm
KESUMA, HRD Corp salur bantuan hampir RM1 juta bantu 1,500 mangsa banjir di Sungai Buloh
November 15, 2026, 4:55 pm
PERKESO salur RM20.23 juta menerusi LINDUNG 24 Jam, lebih 12,000 pencarum dan waris terima manfaat
November 15, 2026, 4:17 pm
BN-PN menang PRN Melaka, esok diisytihar cuti khas negeri
November 15, 2026, 3:01 pm
‘Dulu pecat orang, sekarang sendiri dipecat’ – Tun Mahathir sindir musuh politik
November 15, 2026, 12:37 pm
Kuasa viral akhirnya tumpas 'ulat parkir’ di MRT Maluri
November 15, 2026, 12:06 pm
Penolong Jurutera JKR maut terkena kabel ketika selenggara jalan di Gerik
November 15, 2026, 10:16 am
