TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kuasa viral akhirnya tumpas 'ulat parkir’ di MRT Maluri

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 15 Nov - Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an yang disyaki menjalankan kegiatan 'ulat parkir' di kawasan Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Maluri, Cheras, ditahan polis petang semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daus berkata, suspek ditahan kira-kira jam 2 petang susulan laporan yang diterima pihaknya berhubung kegiatan berkenaan.

"Disahkan tangkapan ada dilaksanakan berkaitan perkara ini kira-kira 2 petang semalam," katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Terdahulu, kegiatan mengutip bayaran parkir secara tidak sah di kawasan berkenaan menjadi perhatian selepas tular di media sosial, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pihak yang bertanggungjawab menguruskan kawasan parkir tersebut.

Susulan itu, polis bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta beberapa pihak berkaitan dilaporkan menjalankan pemantauan di lokasi terbabit semalam.

Sementara itu, ParkIt Malaysia menerusi hantaran di Threads pada Khamis lalu menjelaskan pihaknya tidak mengenakan sebarang bayaran parkir di kawasan berkenaan.

Malah, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) turut mengesahkan pihak ketiga yang menjalankan kegiatan kutipan bayaran di lokasi tersebut tidak mempunyai lesen untuk beroperasi di atas tanah berkenaan.

ParkIt Malaysia turut meminta orang ramai yang pernah membuat bayaran kepada individu terbabit supaya tampil berkongsi maklumat, termasuk resit pembayaran, nama syarikat atau kod QR yang digunakan untuk menerima bayaran.

Maklumat berkenaan dipercayai dapat membantu mengenal pasti pihak yang terlibat dalam kegiatan kutipan parkir tanpa kebenaran itu.

+ - reset