TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

BERSAMA tolak politik identiti UMNO, PAS dan DAP, sedia bina kekuatan secara berperingkat — Rafizi

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 16 Nov. – Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) menegaskan pendirian menolak amalan 'politik identiti' yang diterajui UMNO, PAS, dan DAP, selain membidas pendekatan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa secara tidak langsung menyumbang kepada pengukuhan polarisasi politik tersebut.

Pemimpin BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa kitaran politik semasa memperlihatkan kebergantungan antara blok parti bagi menakut-nakutkan pengundi masing-masing, di mana UMNO dan PAS menyatukan sokongan Melayu manakala DAP mengukuhkan pengaruh bukan Melayu, sementara parti lain seperti PKR, AMANAH, dan Parti Wawasan Negara (WAWASAN) pula didakwa sekadar menumpang kekuatan berkenaan.

Menerusi satu perkongsian video di media sosial malam tadi, bekas Timbalan Presiden PKR itu menyatakan bahawa BERSAMA tidak gentar berdepan kedua-dua spektrum politik tersebut walaupun menyedari strateginya berisiko tinggi dan memakan masa untuk membina tapak sokongan sendiri.

Beliau menyifatkan dominasi politik identiti yang terlalu kuat berisiko mengulangi sejarah skandal besar negara serta merendahkan piawaian tadbir urus apabila rakyat dididik untuk menerima kelemahan pentadbiran, rasuah, dan politik persembahan demi kepentingan kelompok.

Menurut Rafizi, pada peringkat permulaan ini, BERSAMA tidak meletakkan sasaran untuk membentuk kerajaan atau mengejar gabungan ke Putrajaya seperti parti-parti lain, sebaliknya mahu bertindak sebagai 'pendinding' bagi memadamkan api polarisasi kaum.

Pendirian itu disuarakan susulan prestasi parti berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu lalu, yang menyaksikan hanya seorang daripada 16 calon BERSAMA berjaya mengekalkan wang deposit menerusi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Dr Muhammad Solehin Saleh yang meraih 4,140 undi, manakala 15 calon lain hilang deposit. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset