TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

Bersatu dakwa masih relevan kepada pengundi Melayu di Melaka meskipun tewas semua kerusi

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA, 16 Nov. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan parti itu masih relevan di mata pengundi Melayu meskipun gagal memenangi sebarang kerusi yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu.

Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, pencapaian calon Bersatu di beberapa kawasan seperti Pantai Kundor yang meraih 6,112 undi (40.8 peratus) serta lebih 2,000 undi masing-masing di Lendu, Bemban, dan Sungai Udang membuktikan masih wujud keyakinan terhadap perjuangan parti tersebut.

Menerusi satu kenyataan hari ini, beliau mendakwa golongan pengundi berkenaan menolak naratif Melayu-Islam yang dimainkan UMNO dan Pas kerana menganggap ia sekadar alat meraih kuasa politik bagi mengalihkan perhatian daripada kelemahan pentadbiran kerajaan negeri.

Dalam PRN Melaka yang merekodkan peratusan keluar mengundi sebanyak 71.77 peratus atau 493,573 pengundi, Barisan Nasional (BN) mengekalkan penguasaan dengan memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), diikuti Pakatan Harapan (PH) menerusi DAP dengan empat kerusi dan Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi.

Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan Bersatu tewas di kesemua tujuh kerusi yang ditandinginya—Lendu, Sungai Udang, Pantai Kundor, Klebang, Pengkalan Batu, Ayer Keroh, dan Bemban—dengan lima daripada calonnya hilang wang deposit kecuali di Pantai Kundor dan Lendu.

Mengulas lanjut, Tun Faisal menyindir bekas wakil rakyat parti itu yang menyertai Parti Wawasan Negara (WAWASAN) dengan mendakwa mereka melanggar baiah demi mengejar jawatan serta imbuhan, berbeza dengan ahli yang kekal setia atas prinsip perjuangan.

Beliau turut mendakwa kedudukan UMNO ketika ini banyak dibantu oleh akses kepada sumber serta dana kerajaan, manakala Pas dan Wawasan pula didakwa menumpang kekuatan UMNO dan logo PN bagi meraih sokongan pengundi di Melaka.

Sehubungan itu, beliau mengakui Bersatu perlu melakukan perubahan strategi yang lebih menyeluruh bagi memulihkan sokongan rakyat secara berperingkat tanpa bergantung kepada kuasa mahupun kedudukan dalam kerajaan. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset