Berita Berita
Kemenangan untuk balu, mahkamah batal saman ibu mentua, abang ipar tuntut hibah RM1 juta
PUTRAJAYA 20 Nov – Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya membatalkan saman berhubung manfaat hibah bersyarat takaful bernilai lebih RM1 juta selepas membenarkan bantahan awal balu Allahyarham Mohd Aswan Hamid, Sazila Sabri.
Hakim Syarie Mamat Haizan Salleh turut memerintahkan kos prosiding sebanyak RM10,000 dibayar kepada Sazila. Pertikaian mengenai manfaat takaful itu kini diteruskan di Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur, dengan pendengaran dijadualkan pada 15 Januari tahun depan.
Saman di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya itu difailkan pada 21 Ogos 2025 oleh ibu Allahyarham, Saminah Mahroji, dan abangnya, Sukarman Hamid. Kedua-duanya memohon pengesahan berhubung hibah takaful berkenaan.
Berdasarkan dokumen bantahan awal yang difailkan pada 24 Oktober 2025, Allahyarham mencarum dalam pelan takaful di bawah AIA PUBLIC Takaful Berhad dan menamakan Sazila sebagai penerima manfaat hibah bersyarat berjumlah RM1,006,216.49.
Dalam bantahan awalnya, Sazila mengemukakan empat alasan untuk membatalkan saman itu. Antara hujahnya ialah pertikaian tersebut terletak dalam bidang kuasa mahkamah sivil kerana manfaat hibah bersyarat takaful termasuk dalam perniagaan kewangan Islam di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.
Peguam syarie Sazila, Amirul Ashraf Abd Ghani, turut menghujahkan bahawa ibu bapa Allahyarham bermastautin di Selangor, Sukarman bukan ahli waris dan waris lain tidak dinamakan sebagai pihak dalam tuntutan itu.
Pihak Sazila juga mendakwa pernyataan tuntutan mengandungi naratif dan peruntukan undang-undang yang tidak berkaitan serta boleh mengelirukan mahkamah.
Peguam yang mewakili Saminah dan Sukarman, Datuk Akberdin Abdul Kader, pula berhujah bahawa manfaat takaful itu tidak memenuhi rukun dan syarat sah hibah menurut hukum syarak.
Beliau memohon mahkamah membatalkan atau menghentikan serta-merta sebarang transaksi berkaitan serta memasukkan manfaat takaful berkenaan dalam harta pusaka Allahyarham untuk diagihkan kepada waris mengikut hukum faraid.
Dalam prosiding sama, Mamat Haizan menolak permohonan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menjadi pencelah, meskipun mengakui permohonan itu dibuat dengan niat baik dan mempunyai tujuan. BNM sebelum ini menjelaskan bahawa permohonan itu bertujuan membantu mahkamah dalam isu perundangan kewangan Islam.
Sazila diwakili Amirul Ashraf dan Muhammad Al-Khusairi Md Danial, manakala Saminah dan Sukarman diwakili Akberdin bersama 'Izzah Shakirah Mohd Sukor. BNM diwakili Tarmizi Abdullah.
Dalam perkembangan terdahulu, keluarga Allahyarham turut mencabar hibah bersyarat itu di mahkamah sivil. Mahkamah ketika itu dilaporkan memutuskan hibah berkenaan tidak sah dari sudut undang-undang sivil dan mengarahkan wang terbabit diagihkan mengikut hukum faraid.
Sumber: Harian Metro
Berita berkaitan
November 20, 2026, 11:33 pm
'Saya hormat solat Jumaat' - Khoo Poay Tiong hanya bimbang arahan jejas peniaga bukan Islam di Kuala Terengganu
November 20, 2026, 10:03 pm
Kematian pelajar SBP Kuala Kangsar: CCTV tak tunjuk unsur buli, polis selesai rakam keterangan 41 saksi
November 20, 2026, 8:55 pm
Modal niaga dari RM5,000, Agrobank buka peluang kepada usahawan mikro India
November 20, 2026, 8:28 pm
Makin ramai, TUDM sahkan 5 pegawai, 2 anggota ditahan susulan penemuan 96.6 kg disyaki dadah di Subang
November 20, 2026, 5:33 pm
Khoo Poay Tiong suarakan kebimbangan impak arahan penutupan premis waktu solat Jumaat ke atas bukan Islam
November 20, 2026, 5:13 pm
