Berita Berita
Modal niaga dari RM5,000, Agrobank buka peluang kepada usahawan mikro India
KLANG 20 Nov – Usahawan mikro dalam kalangan masyarakat India kini boleh mendapatkan pembiayaan bermula RM5,000 menerusi skim AGRO i-Sinar yang dilancarkan Agrobank sempena sambutan Deepavali 2026.
Skim patuh Syariah itu boleh digunakan untuk modal kerja, pembelian aset perniagaan dan pengembangan operasi. Agrobank turut menawarkan Perlindungan Takaful Kredit (TKP) percuma sehingga RM50,000 kepada pelanggan yang layak.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, berkata skim itu diwujudkan bagi memudahkan usahawan mikro mendapatkan pembiayaan yang berpatutan untuk mengembangkan perniagaan.
Katanya, akses pembiayaan yang lebih luas dapat membantu memperkukuh kedudukan ekonomi komuniti.
“Melalui AGRO i-Sinar, kami bukan saja menyediakan kemudahan pembiayaan untuk keperluan modal kerja dan pengembangan perniagaan, malah membuka peluang kepada lebih ramai usahawan untuk memperkukuh daya tahan perniagaan,” katanya.
Majlis pelancaran itu dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Dalam ucapannya, Mohamad berkata, akses pembiayaan yang lebih baik untuk usahawan mikro, termasuk komuniti India, penting supaya manfaat pembangunan ekonomi dapat dinikmati dengan lebih saksama.
Menurutnya, kemudahan itu berpotensi meningkatkan pendapatan isi rumah, mewujudkan peluang pekerjaan dan merangsang ekonomi setempat, selaras dengan matlamat pembangunan sektor agromakanan yang inklusif dan mampan.
Pada majlis sama, Agrobank turut menyampaikan bakul makanan serta sumbangan tunai berjumlah RM20,000 kepada 100 penerima yang memerlukan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Sebagai institusi kewangan pembangunan, Agrobank akan terus memperluas akses pembiayaan dan menyokong pertumbuhan usahawan menerusi inisiatif pembangunan ekonomi dan kesejahteraan komuniti.
Berita berkaitan
November 20, 2026, 11:33 pm
'Saya hormat solat Jumaat' - Khoo Poay Tiong hanya bimbang arahan jejas peniaga bukan Islam di Kuala Terengganu
November 20, 2026, 10:03 pm
Kematian pelajar SBP Kuala Kangsar: CCTV tak tunjuk unsur buli, polis selesai rakam keterangan 41 saksi
November 20, 2026, 8:28 pm
Makin ramai, TUDM sahkan 5 pegawai, 2 anggota ditahan susulan penemuan 96.6 kg disyaki dadah di Subang
November 20, 2026, 5:33 pm
Khoo Poay Tiong suarakan kebimbangan impak arahan penutupan premis waktu solat Jumaat ke atas bukan Islam
November 20, 2026, 5:17 pm
Kemenangan untuk balu, mahkamah batal saman ibu mentua, abang ipar tuntut hibah RM1 juta
November 20, 2026, 5:13 pm
