TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Saya hormat solat Jumaat' - Khoo Poay Tiong hanya bimbang arahan jejas peniaga bukan Islam di Kuala Terengganu

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 20 Nov – Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, menjelaskan bahawa beliau mempersoalkan skop penguatkuasaan arahan penutupan premis perniagaan selama dua jam ketika solat Jumaat di Kuala Terengganu, khususnya sama ada ia turut melibatkan premis milik bukan Islam.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata isu itu dibangkitkan susulan surat rasmi Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang menurutnya mengarahkan semua premis perniagaan ditutup dari pukul 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang pada Jumaat.

“Saya ingin menjelaskan bahawa saya menghormati Solat Jumaat dan amalan di Terengganu yang telah lama diamalkan. Itu bukan isu yang saya bangkitkan.

“Isu yang saya bangkitkan ialah mengenai penguatkuasaan menyeluruh melalui surat rasmi MBKT yang mengarahkan SEMUA premis perniagaan ditutup dari jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang, termasuk premis bukan Islam, dengan ancaman denda RM2,000, penjara atau pembatalan lesen perniagaan,” ujarnya.

Poay Tiong turut mempersoalkan kesan terhadap peniaga pelbagai kaum sekiranya kerajaan negeri Melaka memperkenalkan peraturan seumpama itu.

“Persoalan saya mudah: Adakah wajar sekiranya penguatkuasaan sedemikian dilaksanakan di negeri Melaka oleh kerajaan gabungan BN-PN? Jika dilaksanakan, bagaimana pula nasib perniagaan yang dijalankan oleh pelbagai kaum di Melaka?” katanya.

Beliau berkata dasar kerajaan dan kesannya kepada masyarakat boleh dibincangkan secara rasional sambil menghormati kepercayaan dan amalan agama masing-masing.

“Saya tidak berniat menyentuh sensitiviti atau memperlekehkan amalan agama mana-mana pihak. Saya hanya membangkitkan persoalan mengenai dasar dan penguatkuasaan yang turut memberi kesan kepada masyarakat bukan Islam.

“Saya percaya dasar kerajaan boleh dibincangkan dan dipersoalkan secara rasional tanpa dianggap sebagai satu bentuk penghinaan terhadap mana-mana agama,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata peraturan MBKT itu hanya terpakai kepada premis perniagaan orang Islam. Menurutnya, premis milik bukan Islam yang tidak mempunyai pekerja Islam boleh terus beroperasi dalam tempoh berkenaan.

+ - reset