TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hutang baharu turun kepada RM70 bilion setahun, kerajaan masih bayar hutang lama – Anwar

By
|
Kongsi
image

 

KUALA TERENGGANU 26 Nov – Pinjaman baharu kerajaan berkurang secara berperingkat daripada kira-kira RM100 bilion kepada RM70 bilion setahun, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, jumlah hutang baharu tahunan itu turun kepada RM90 bilion, kemudian RM80 bilion sebelum mencecah RM70 bilion hasil pengurusan kewangan yang cermat. Katanya, kerajaan masih perlu membayar hutang terdahulu serta faedahnya.

"Orang kata, 'Oh, masa Anwar sekarang hutang tinggi'. Tak betul. Hutang baru kita kurang. Dulu, masa saya ambil alih, hutang satu tahun RM100 bilion. Perlahan-lahan turun RM90 bilion, RM80 bilion, sekarang hutang hanya RM70 bilion satu tahun.

"Tapi dia kata 'Tak, sebab jumlah hutang sama'. Iyalah hutang lama. Hutang lama itu ada faedah, dia kena bayar. Itu yang nampak berlonggok besar," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit Negeri Terengganu di sini pada Khamis.

Anwar berkata, kerajaan masih menanggung komitmen kewangan terdahulu melibatkan beberapa agensi dan syarikat berkaitan kerajaan. Menurutnya, ia termasuk kerugian 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM50 bilion serta komitmen berkaitan Tabung Haji dan Felda yang masing-masing berjumlah RM10 bilion.

"Hutang 1MDB sampai sekarang saya kena bayar. Hutang Tabung Haji, hutang Felda kita kena bayar. Tiap tahun saya kena bayar hampir RM1 bilion (RM980 juta) hutang lama Felda.

"Kalau tak bayar, gulung Felda. Tabung Haji pula kita kena tampung. Kalau tak bayar, duit jemaah macam mana? Nak pergi haji macam mana?" soalnya.

Dalam pada itu, Anwar berkata penjimatan dan pengurusan fiskal yang baik membolehkan kerajaan menyalurkan lebih banyak peruntukan kepada peniaga dan usahawan kecil menerusi inisiatif Usahawan Bangkit.

Pada majlis sama, beliau mengumumkan kelulusan peruntukan segera RM500,000 untuk membantu semua peserta Usahawan Bangkit di Terengganu. Katanya, peruntukan tambahan akan disalurkan tahun depan menerusi belanjawan negara.

+ - reset