Berita Berita
Inspektor Sheila heret Ayob Khan, kerajaan ke mahkamah, mohon dikembalikan ke jawatan
KUALA LUMPUR 26 Nov – Bekas pegawai polis Sheila Sharon Steven Kumar mendakwa beliau tidak pernah dimaklumkan mengenai empat pertuduhan tatatertib sebelum menerima surat pemecatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 3 Ogos lalu.
Sheila, yang dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’, turut mendakwa jawapan bertulisnya terhadap 19 pertuduhan tatatertib lain tidak dipertimbangkan walaupun sudah diterima pejabat berkenaan pada April 2024.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memberikan kebenaran kepada Sheila untuk meneruskan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan pemecatannya.
Hakim Indra Nehru membenarkan permohonan itu selepas peguam Sheila, M Manoharan, berhujah bahawa kes berkenaan mempunyai merit untuk diteliti pada pendengaran substantif. Responden yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Solehudin Zaki, tidak membantah permohonan kebenaran itu.
Sheila memfailkan permohonan berkenaan pada 29 Oktober menerusi Tetuan M Manoharan & Co dengan menamakan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay, lembaga tatatertib PDRM serta suruhanjayanya, dan kerajaan sebagai responden.
Menurut dokumen mahkamah yang dilihat Malaysiakini, Sheila dipecat pada 3 Ogos menerusi dua surat bertarikh 7 Julai yang masing-masing menyatakan beliau didapati bersalah atas empat dan 19 pertuduhan tatatertib. Kedua-dua surat itu serta surat pemecatannya ditandatangani Ayob.
“Saya tidak pernah menerima atau diserahkan sebarang surat tunjuk sebab atau notis tindakan tatatertib (berhubung empat pertuduhan tatatertib itu) sebelum menerima surat pada 3 Ogos tahun ini.
“Akibatnya, saya tidak pernah dimaklumkan mengenai dakwaan khusus tersebut (dan) kekal tidak pasti sehingga ke hari ini berhubung pertuduhan spesifik yang dituduh dan dikatakan bersalah,” katanya dalam afidavit sokongan.
Sheila mendakwa beliau tidak diberi peluang menyediakan pembelaan, memohon pendengaran secara bersemuka atau mendapatkan dokumen berkaitan empat pertuduhan itu.
“Jelas sekali, saya tidak dapat membela diri terhadap pertuduhan yang tidak pernah dimaklumkan kepada saya.
“Saya dinasihati oleh peguam saya, dan saya sesungguhnya percaya bahawa tindakan tersebut adalah terbatal dan menyalahi undang-undang.
“Keputusan responden adalah tidak teratur dari segi prosedur, tidak munasabah, tidak wajar, dan pada asasnya tidak adil kepada saya.”
Bagi 19 pertuduhan lain, Sheila berkata beliau menerima surat tunjuk sebab bertarikh 3 April 2024 berhubung dakwaan salah laku antara 2017 hingga 2019. Beliau mendakwa tidak pernah dimaklumkan mengenai sebarang salah laku itu sebelum menerima surat berkenaan.
Katanya, beliau mengemukakan representasi pada 23 April 2024 dan dokumen itu diterima Pejabat Pendaftaran Siasatan Jenayah Komersial pada keesokan harinya.
Sheila berkata, beliau menafikan setiap pertuduhan secara berasingan dan memohon dokumen berkaitan serta pendengaran lisan. Beliau mendakwa surat tunjuk sebab itu tidak memperincikan bentuk salah laku sehingga beliau terpaksa meneka dakwaan sebenar ketika menyediakan jawapan.
“Saya amat terkejut apabila menerima notis hukuman tatatertib, yang menyatakan bahawa responden pertama dan kedua tidak menerima representasi saya, walaupun pejabat tersebut sebenarnya menerimanya pada 24 April 2024.
“Saya mengambil langkah seperti yang diarahkan oleh pihak berkuasa (dalam menjawab dakwaan tersebut).
“Namun, keputusan untuk memecat saya daripada perkhidmatan dibuat kemudiannya tanpa mengambil kira representasi saya.”
Sheila berkata, pemecatan itu menyebabkan beliau kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.
“Saya kini berdepan kesan terhadap reputasi profesional dan prospek pekerjaan masa depan saya.
“Tambahan pula, saya tidak pernah dipanggil, mahupun diberi peluang untuk menyoal balas mana-mana saksi, dan tidak juga dibenarkan membentangkan kes saya menggunakan dokumen, jika ada, yang digunakan semasa siasatan terhadap saya.
“Ini (pemecatan) berlaku walaupun saya menafikan pertuduhan tersebut dan memohon peluang yang adil untuk pendengaran lisan.”
Sheila, yang berkhidmat dalam pasukan polis sejak 2016, memohon mahkamah mengisytiharkan keputusan pemecatannya batal, tidak sah dan menyalahi undang-undang.
Beliau memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan itu serta perintah mandamus supaya dikembalikan ke jawatan Inspektor tanpa penurunan pangkat dan diberikan semula semua faedah serta kelayakannya sebagai penjawat awam dan pegawai polis.
Beliau juga memohon bayaran tunggakan gaji, emolumen, elaun, bonus dan faedah kewangan lain dari tarikh pemecatan sehingga kembali bertugas. Tuntutannya turut meliputi ganti rugi am, teruk dan teladan, kos, faedah lima peratus setahun ke atas ganti rugi serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Sheila mula mendapat perhatian pada Jun 2023 selepas beberapa video memaparkan beliau bertengkar dengan beberapa individu, termasuk orang awam, tular di media sosial.
Beliau kemudian mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan membabitkan dakwaan mengaibkan kehormatan dua lelaki, termasuk seorang koperal polis, serta melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita berusia 69 tahun.
Pada November tahun sama, Sheila sekali lagi didakwa selepas didakwa menjerit ke arah seorang wanita dan membunyikan hon kereta berulang kali dalam kejadian mengganggu ketenteraman awam di sebuah pusat membeli-belah di Brickfields.
Pada November 2025, satu lagi video memaparkan beliau bersemuka dengan beberapa anggota polis di tepi jalan. Peguamnya mendakwa Sheila campur tangan selepas melihat anggota terbabit cuba memeras ugut RM200 daripada seorang warga Pakistan.
Mahkamah belum menetapkan tarikh prosiding selanjutnya.
Berita berkaitan
November 26, 2026, 10:32 pm
Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail meninggal dunia
November 26, 2026, 8:38 pm
HRD Awards 2026 angkat usaha melatih pekerja, empat penerima raih anugerah Platinum
November 26, 2026, 7:49 pm
Tiga pegawai TUDM seludup dadah guna aset tentera dihadapkan ke mahkmah esok
November 26, 2026, 7:24 pm
Dua beradik maut, abang cedera dalam nahas motosikal ketika pulang dari sekolah
November 26, 2026, 5:02 pm
Bekas jurulatih taekwondo didakwa lakukan amang seksual fizikal budak perempuan 10 tahun
November 26, 2026, 4:35 pm
Hutang baharu turun kepada RM70 bilion setahun, kerajaan masih bayar hutang lama – Anwar
November 26, 2026, 3:11 pm
Polis buru suspek disyaki curi kabel, terbabit kemalangan maut di Iskandar Puteri
November 26, 2026, 2:44 pm
MySP AI bantu sekolah kesan perubahan ekspresi wajah, rekod kehadiran murid
November 26, 2026, 2:37 pm
