Berita Berita
HRD Awards 2026 angkat usaha melatih pekerja, empat penerima raih anugerah Platinum
KUALA LUMPUR 26 Nov – Tiga syarikat dan seorang jurulatih meraih Anugerah Menteri Sumber Manusia (Platinum), pengiktirafan tertinggi pada HRD Awards 2026 yang menyaksikan 53 anugerah disampaikan sempena edisi ke-25 penganjurannya.
CIBA Vision Johor Sdn. Bhd. meraih pengiktirafan itu bagi kategori Majikan Besar, manakala Above Creative Events (M) Sdn. Bhd. menang bagi kategori Majikan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Spark Activators Sdn. Bhd. pula menerima anugerah bagi kategori Penyedia Latihan, manakala Karunamoorti Ganthi dinobatkan sebagai penerima bagi kategori Jurulatih.
Keempat-empat penerima diiktiraf atas rekod pencapaian cemerlang dan komitmen berterusan dalam meningkatkan kemahiran tenaga kerja serta membangunkan modal insan.
Kesemua 53 anugerah itu merangkumi empat kategori utama, iaitu Anugerah Menteri Sumber Manusia (Platinum) serta Anugerah HRD Corp bagi kategori Emas, Perak dan Gangsa.
Majlis makan malam gala yang berlangsung pada 25 November di Connexion Conference & Event Centre, Bangsar South, dianjurkan oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dengan sokongan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Majlis itu menghimpunkan majikan, penyedia latihan dan jurulatih dari seluruh negara.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, menyempurnakan majlis dan menyampaikan penghargaan kepada peneraju yang memainkan peranan dalam membentuk tenaga kerja masa hadapan negara.
Dalam ucapannya, Ramanan menekankan kepentingan pelaburan berterusan dalam pembangunan tenaga kerja supaya rakyat Malaysia memiliki kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi keperluan industri yang sentiasa berubah.
“Pembangunan tenaga kerja yang berkemahiran dan berdaya saing memerlukan komitmen bersama daripada majikan, penyedia latihan dan jurulatih.
"Pencapaian yang diraikan pada malam ini membuktikan peranan penting setiap pihak dalam memperkukuh modal insan negara serta mempersiapkan tenaga kerja kita untuk menghadapi masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz, berkata majikan, penyedia latihan dan jurulatih masing-masing memainkan peranan dalam membentuk tenaga kerja negara.
“Malam ini adalah tentang majikan yang percaya bahawa pelaburan dalam pembangunan insan sama pentingnya dengan pelaburan dalam perniagaan mereka.
"Ia juga meraikan penyedia latihan yang memahami bahawa tanggungjawab mereka bukan sekadar melaksanakan program latihan, serta jurulatih yang berkongsi ilmu, menyuntik keyakinan dan membantu rakyat Malaysia mencapai kejayaan luar biasa.
“Namun, yang paling utama, malam ini adalah tentang tenaga kerja Malaysia, iaitu sebab utama kita semua berada di sini,” katanya dalam ucapannya.
Sejak diperkenalkan pada 2001, HRD Awards mengiktiraf organisasi dan individu yang komited membangunkan bakat, memperkukuh pembelajaran di tempat kerja serta memupuk budaya peningkatan kemahiran secara berterusan.
Pada edisi ke-25 ini, anugerah berkenaan memberi penekanan lebih besar kepada pencapaian berimpak tinggi, pelaburan strategik dalam latihan dan hasil latihan yang boleh diukur. Tumpuan itu selaras dengan usaha membangunkan tenaga kerja berkemahiran yang mampu menyesuaikan diri dengan keperluan masa hadapan.
Pemenang dipilih menerusi proses penilaian berperingkat bagi memastikan ketelusan, integriti dan kredibiliti pemilihan. Panel penilai terdiri daripada pakar luar, termasuk wakil persatuan majikan dan agensi kerajaan, serta panel Jawatankuasa Eksekutif HRD Corp.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KESUMA, Sutekno Ahmad Belon, Pengerusi HRD Corp, Datuk Rusli Jaafar, dan Ketua Pegawai Operasi HRD Corp, Amir Hamzah Rahmat.
Hadir sama Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Nik Mustapha Nik Mohamed, serta Penasihat Kanan MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman.
HRD Corp turut komited menyokong majikan dan memperkukuh ekosistem latihan bagi memastikan pelaburan dalam pembangunan tenaga kerja memberi manfaat kepada pekerja, majikan dan negara.
Berita berkaitan
November 26, 2026, 10:32 pm
Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail meninggal dunia
November 26, 2026, 7:49 pm
Tiga pegawai TUDM seludup dadah guna aset tentera dihadapkan ke mahkmah esok
November 26, 2026, 7:24 pm
Dua beradik maut, abang cedera dalam nahas motosikal ketika pulang dari sekolah
November 26, 2026, 5:44 pm
Inspektor Sheila heret Ayob Khan, kerajaan ke mahkamah, mohon dikembalikan ke jawatan
November 26, 2026, 5:02 pm
Bekas jurulatih taekwondo didakwa lakukan amang seksual fizikal budak perempuan 10 tahun
November 26, 2026, 4:35 pm
Hutang baharu turun kepada RM70 bilion setahun, kerajaan masih bayar hutang lama – Anwar
November 26, 2026, 3:11 pm
Polis buru suspek disyaki curi kabel, terbabit kemalangan maut di Iskandar Puteri
November 26, 2026, 2:44 pm
MySP AI bantu sekolah kesan perubahan ekspresi wajah, rekod kehadiran murid
November 26, 2026, 2:37 pm
