TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

'Saya dah cakap dengan Bojan Hodak', Fourrier sedia sarung jersi Harimau Malaya

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 27 NOVEMBER — Kehadiran Bojan Hodak sebagai pengendali baharu skuad Harimau Malaya membuka lembaran baharu dalam bola sepak negara apabila penyerang kelahiran Cameroon-Perancis, Bertrand Fourrier, menyatakan kesediaan penuh untuk menyarung jersi kebangsaan serta membantu Malaysia layak ke Piala Dunia 2030.

Hasrat pemain berusia 29 tahun yang kini beraksi bersama kelab Rusia, FC Ural Yekaterinburg itu, dikongsikan menerusi satu rakaman video dimuat naik oleh Arya Pradana Budiarto, susulan pelantikan rasmi jurulatih berusia 55 tahun berkenaan pada 24 November lalu.

Dalam perkongsian itu, Bertrand menegaskan bahawa dirinya amat menghormati reputasi jurulatih kelahiran Croatia tersebut sambil memaklumkan perbualan serta kiriman mesej yang telah dilakukan bagi menyatakan kesediaan mewakili skuad negara.

"Saya sudah bercakap dengan Bojan Hodak dan memberitahu bahawa saya bersedia beraksi untuk skuad kebangsaan serta membawa Malaysia layak ke Piala Dunia 2030. Sudah tentu saya menghormatinya kerana beliau seorang jurulatih terbaik dengan rekod pencapaian yang sangat cemerlang dan banyak kejuaraan, namanya sudah cukup menggambarkan segala-galanya," katanya.

Pelantikan Bojan dibuat bagi menggantikan Peter Cklamovski yang menamatkan kontrak secara persetujuan bersama pada Jun lepas, selain mengambil alih tugas daripada pengendali sementara, Tan Cheng Hoe, yang kekal dalam struktur pasukan kebangsaan selaku Pengarah Pasukan Harimau Malaya.

Sebelum memikul tanggungjawab di peringkat skuad senior, anak jati Croatia itu telah mengukir reputasi kukuh di rantau ini menerusi deretan kejayaan bersama Kelantan FA pada 2012 hingga 2013 apabila merangkul kejuaraan 'treble' domestik pada musim 2012 dan mempertahankan Piala FA setahun kemudian, sebelum menjulang Liga Super 2014 serta Piala Sumbangsih 2015 bersama Johor Darul Ta'zim.

Sentuhan kejurulatihan beliau turut menyerlah bersama skuad Bawah 19 Tahun negara antara 2017 hingga 2019 apabila membimbing pasukan muda itu menjuarai Kejuaraan Remaja AFF B-19 2018, diikuti kejayaan menjulang Piala Malaysia 2021 serta muncul naib juara Piala AFC 2022 bersama Kuala Lumpur City FC, selain menghadiahkan tiga gelaran liga berturut-turut kepada Persib Bandung dari 2023 hingga Mei 2026 sebelum beralih peranan sebagai penasihat teknikal kelab Indonesia itu.

Sementara itu, Bertrand mempunyai kaitan tersendiri dengan Malaysia kerana pernah menetap di ibu negara selama empat hingga lima tahun ketika zaman kanak-kanak iaitu sekitar usia sembilan hingga 13 tahun, sebelum berpindah ke Perancis untuk menyertai akademi remaja Olympique de Marseille.

Sepanjang berada di tanah air, penyerang berkenaan pernah menimba ilmu bola sepak di akademi Kuala Lumpur Youth Soccer bersama bekas pemain kebangsaan, Mohamadou Sumareh, serta turut menyaksikan perlawanan akhir Piala AFF 2010 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tempoh bermastautin di Malaysia sewaktu usia muda berpotensi memenuhi syarat kelayakan kediaman yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi mewakili pasukan kebangsaan, di samping kelayakan beliau untuk Cameroon dan Perancis.

Sebelum menyertai FC Ural Yekaterinburg pada 2026, penyerang itu menghabiskan sebahagian besar karier seniornya di Perancis termasuk bersama Martigues, Le Puy dan Toulon, selain mencatat prestasi memberangsangkan di Bulgaria bersama Septemvri Sofia dengan meledak 19 gol dalam 65 penampilan dari 2024 hingga 2026.

+ - reset