Berita Sukan
'Saya orang Malaysia', Rodrigo Iriarte hasrat pulang ke tanah air tahun depan
KUALA LUMPUR 26 NOVEMBER - Pemain Club Pilmatun, Rodrigo Iriarte menyifatkan dirinya lebih cenderung sebagai rakyat Malaysia meskipun membesar serta membina kerjaya bola sepaknya di Argentina.
Pemain berusia 29 tahun itu meluahkan pandangan berkenaan apabila ditanya mengenai negara kelahirannya dalam satu laporan portal LM Cipolletti, selain mengakui mempunyai ikatan emosi yang mendalam terhadap Malaysia memandangkan beliau ialah anak kepada bekas penyerang import Pahang, Jose Iriarte.
"Jangan tanya saya mengapa tetapi saya menganggap diri saya orang Malaysia. Semua penyokong yang mengikuti perkembangan saya sering berkata, 'Awak orang Argentina, awak membesar di sini.'
"Bagaimanapun, saya memiliki kaitan serta akar umbi yang signifikan. Saya kerap memantau skuad kebangsaan dan saingan Liga Super di sana.
"Terdapat perkara yang menarik perhatian saya dari negara itu, saya masih belum kembali dan kini perancangan tersebut sedang diatur sedikit demi sedikit," katanya.
Iriarte turut berkongsi bahawa beliau dilahirkan di Seremban, Negeri Sembilan dan menetap di tanah air selama setahun sebelum berpindah ke Australia selama tiga tahun, lalu berhijrah ke Argentina ketika berusia empat tahun.
"Saya berada di Malaysia selama setahun dan selepas itu ke Australia selama tiga tahun. Dari situ kami pulang ke Argentina sewaktu umur saya mencecah empat tahun dan saya dibesarkan di sini," ujarnya.
Menurut pemain tersebut, hasrat kembali ke Malaysia sebenarnya sudah lama berada dalam perancangannya sebelum namanya hangat diperkatakan di laman sukan, namun perhatian sejak beberapa minggu kebelakangan ini serta perhubungan dengan sebuah kelab profesional menyuntik dorongan baharu terhadap niat itu.
"Saya mempunyai perjalanan yang dirancang untuk tahun hadapan, jadi saya sedang cuba menyesuaikan segala urusan untuk melihat sama ada sekurang-kurangnya saya dapat beraksi dalam liga tersebut buat sementara waktu dan menilai peluang yang wujud," katanya.
Walaupun kisah dirinya mencetuskan keterujaan menerusi pelbagai siaran, beliau tetap bersikap realistik dan memilih menumpukan perhatian kepada sasaran lebih dekat.
"Kita tidak pernah tahu apa yang bakal berlaku, tetapi jangkaan saya pada hari ini bukanlah begitu, sebaliknya sekadar berada di sana buat seketika dan melihat peluang bermain di sana. Pasukan ini berasal daripada liga profesional di sana, iaitu divisyen pertama," jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa dirinya bersikap terbuka terhadap peluang beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M), malah sudah mengadakan perbincangan awal dengan sebuah pasukan yang berminat menilai kemampuannya.
"Ya, memang ada komunikasi bersama sebuah kelab di sana. Kapten serta pengendali sebuah pasukan menghubungi saya bagi mendapatkan dokumen kerana saya ingin menjalani sesi percubaan dan meneliti potensi bermain di sana," katanya.
Nama Iriarte tersenarai dalam kalangan pemain kelahiran Malaysia yang sedang merantau di luar negara bersama Sam Bone, Nino Ziga dan Marcos Tavares Jr menerusi perkongsian Harimau Abroad.
Berita berkaitan
November 26, 2026, 7:16 pm
RMS buktikan mampu jaring gol di Stadium MBPJ
November 26, 2026, 12:14 pm
Rumput selamatkan maruah Man United di Portugal
November 26, 2026, 11:15 am
Dugaan awal ke Brunei, Kelantan Red Warrior risiko hadapi kerugian besar
November 26, 2026, 10:08 am
Prestasi kelam di ACLE, fans petik 6 import JDT bukan 'standard' kualiti Asia
November 25, 2026, 7:39 pm
Dulu disanjung TMJ, kini terpaksa tanggung hutang RM13 juta
November 25, 2026, 5:45 pm
Bekas pemain Selangor berjaya jaring gol berkelas dunia di ACLE
November 25, 2026, 5:01 pm
Cheng Hoe lebih layak bimbing HM berbanding Bojan Hodak - Peter de Roo
November 25, 2026, 1:43 pm
Fans Indonesia gigil, dakwa Bojan Hodak tahu kelemahan semua pemain Sang Garuda
November 25, 2026, 10:51 am
