TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

Rumput selamatkan maruah Man United di Portugal

By
|
Kongsi
image

LISBON 26 NOVEMBER - Permukaan padang Stadium José Alvalade yang berlubang secara tidak sengaja menjadi penyelamat maruah Manchester United apabila membantu kapten pasukan itu, Bruno Fernandes meledak gol penting ketika mengikat Sporting Lisbon 2-2 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, pada awal pagi Khamis.

Insiden unik yang dianggap sebagai bantuan jaringan paling tidak dijangka oleh perancang tengah kelahiran Portugal itu berlaku pada babak kedua ketika kedudukan terikat 1-1.

Segalanya bermula apabila Fernandes yang sedang mengejar bola di dalam kotak penalti lawan tertusuk tumit kasutnya ke permukaan rumput sehingga meninggalkan kesan lekukan di kawasan tersebut.

Tidak lama selepas itu, kegagalan benteng tuan rumah mengeluarkan bola dari zon bahaya membuka ruang kepada jentera serangan The Red Devils untuk merampas semula penguasaan sebelum menghantarnya kepada pemain berusia 32 tahun itu di luar kawasan penalti.

Fernandes kemudiannya melepaskan rembatan percubaan yang pada awalnya kelihatan lemah dan mudah untuk ditangkap kemas penjaga gol Sporting, Kaique Pereira.

Namun, tuah menyebelahi pelawat apabila bola melantun tepat di atas lubang rumput yang terhasil sebentar tadi, sekali gus menyebabkan bola melambung tinggi melepasi jangkauan Pereira dan menerjah jaring.

Dua jaringan peribadi daripada tonggak kebangsaan Portugal itu hampir memastikan kemenangan mutlak buat pasukannya, sebelum kesilapan penjaga gol, Senne Lammens pada penghujung aksi dimanfaatkan sepenuhnya oleh Luis Suárez untuk menyamakan kedudukan bagi tuan rumah.

Mengulas mengenai keputusan seri tersebut, Fernandes enggan menuding jari kepada mana-mana individu atas kesilapan lewat permainan itu dan menyifatkannya sebagai asam garam dalam dunia bola sepak.

"Kesilapan adalah sebahagian daripada bola sepak dan daripada situasi itulah terhasilnya jaringan. Namun, sukan ini bukan bersifat individu, justeru semua pemain perlu memikul tanggungjawab bersama atas setiap kejayaan mahupun kekalahan pasukan," katanya kepada TNT Sports.

Beliau turut menegaskan bahawa semangat berpasukan kekal utuh dan mereka perlu sentiasa bersatu hati dalam mengharungi detik sukar mahupun cemerlang tanpa menggugat kepercayaan sesama rakan sepasukan.

+ - reset