TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

RMS buktikan mampu jaring gol di Stadium MBPJ

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA 26 NOVEMBER - Sentuhan penyudah penuh keyakinan yang dipamerkan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ketika merobek gawang lawan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membuktikan komitmen berterusan baginda bukan sekadar di meja pentadbiran, malah turut menyerlah di atas padang.

Dalam aksi persahabatan yang menghimpunkan skuad Pilihan DYTM Raja Muda Selangor menentang Pilihan Menteri Besar Selangor diketuai YAB Dato’ Seri Amirudin Shari itu, bola yang dirembat menembusi jaring disambut sorakan rakan sepasukan sebelum mereka meraikan jaringan tersebut secara beramai-ramai di tengah gelanggang. 

Suasana perlawanan berlangsung dalam semangat kesukanan tinggi, sekali gus memperlihatkan keakraban antara kepimpinan negeri, pengurusan bola sepak serta warga komuniti sukan tempatan.


Ketajaman baginda di hadapan pintu gol turut selari dengan peranan strategik Tengku Amir Shah sebagai pemegang saham terbesar yang menerajui Selangor FC menerusi syarikat Red Giants FC Sdn. Bhd. 

Sejak Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) diswastakan dan dikenali semula sebagai Selangor FC pada 2 Oktober 2020, baginda menjadi tonggak utama dalam memacu hala tuju moden kelab tersebut bersama entiti pemegang saham lain seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Menteri Besar Incorporated (MBI) dan FAS.

Selain mengemudi penstrukturan organisasi serta tadbir urus profesional pasukan, Tengku Amir Shah aktif melibatkan diri dalam pelbagai agenda kemajuan bola sepak negeri, termasuk menyempurnakan pelancaran jersi musim 2026/27 serta memperkukuh program akar umbi. 

Kehadiran baginda beraksi di padang hijau Stadium MBPJ sekaligus menjadi suntikan moral yang menyemarakkan lagi semangat pembangunan sukan berkenaan di Selangor.

+ - reset