TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

Bekas pemain kongsi titik mula sedar sisi gelap bola sepak di negara

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 27 NOVEMBER - Pengalaman menyarung jersi skuad bawah 21 tahun pada usia belasan tahun membuka mata bekas pemain bola sepak, Hausen Shwahiri, terhadap realiti getir yang disifatkan sebagai sisi gelap arena sukan tanah air.

Beliau berkata fasa itu bermula apabila terpilih menyertai Selangor United FC bagi saingan Piala Presiden ketika berusia 17 tahun, sekali gus menjadi 'first contract' yang membuka laluan awal menuju pentas profesional.

"Pada waktu itu, saya kerap bermain sebagai 'first eleven'. Untuk umur 17 tahun dan bermain secara 'regular' di pasukan bawah 21 tahun adalah satu perkara yang agak gila. 'Wonderkid' senang kata," katanya menerusi perkongsian tersebut.

Namun, perjalanan yang kelihatan cerah itu bertukar mencabar selepas beliau ditimpa kecederaan serius apabila 'ligament' pada 'ankle' mengalami koyakan, sekali gus menjejaskan rentak permainannya.

"Sesuatu terjadi apabila saya mengalami kecederaan yang agak serius yang di mana 'ligament' pada 'ankle' saya koyak. Saya agak 'lost' waktu itu sebab saya menjangkakan pasukan akan menjaga saya dari segi 'rehabilitation', 'recovery' dan proses untuk kembali dalam 'squad'. Macam kita tengok pasukan-pasukan Eropah buat untuk menjaga pemain mereka," ujarnya.

Menurut Hausen, situasi sebenar yang dilaluinya amat berbeza daripada harapan tersebut apabila beliau terpaksa menguruskan pemulihan secara bersendirian tanpa sokongan sistematik daripada pihak berkaitan.

"Tapi apa yang jadi adalah sebaliknya. Hampir semua benda saya buat sendiri. Mereka hanya terus bertanya bila saya mahu elok ini. Bayangkan, budak sekolah buat 'rehabilitation' sendiri, adakah mereka benar-benar serius," katanya dengan nada kesal.

Mengimbas detik sukar berkenaan, beliau menyifatkan layanan yang diterima ketika itu ibarat lampin pakai buang yang dimanfaatkan ketika diperlukan sebelum diketepikan apabila tidak lagi berfungsi.

"Saya ringkaskan di sini, saya pada waktu itu diibaratkan seperti lampin budak. Waktu tengah elok, kena lenjan. Bila dah rosak, terus dibuang. Nasihat saya, sentiasa jaga diri dan kesihatan anda. Pada akhirnya, kita hanya ada diri kita sahaja untuk 'protect'," tegasnya.

Sebagai rekod, Hausen pernah beraksi bersama UiTM FC dan Malaysian University, serta kini meneruskan penglibatannya dalam saingan liga sosial Selangor bersama Klasiko FC Shah Alam.

+ - reset