TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

Prestasi kelam di ACLE, fans petik 6 import JDT bukan 'standard' kualiti Asia

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 26 NOVEMBER - Prestasi semasa sebahagian besar pemain import Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) 2026–27 mula mengundang perdebatan dalam kalangan penyokong apabila enam tonggak berkenaan dianggap masih belum mencapai tahap kompetitif peringkat Asia.

Tinjauan di media sosial mendapati perbincangan hangat tercetus menerusi satu hantaran oleh pengguna Facebook, Azri Atan, yang menyuarakan pandangan kritis terhadap keberkesanan barisan import skuad Harimau Selatan musim ini walaupun pasukan itu direkrut dengan hasrat memperkukuh cabaran di pentas benua.

"Dalam lambakan pemain import JDT musim ini, aku boleh cakap majoritinya tidak mempunyai kualiti untuk bersaing di peringkat Asia. Yang betul-betul meninggalkan impak positif di peringkat Asia ialah Kevin Medina dan Oscar Arribas," katanya menerusi perkongsian tersebut.

Beliau turut menamakan enam pemain iaitu Shahab Zahedi, Yago Cesar, Nene, Dejan Petrovic, Stoichkov dan Dani Bolt sebagai kelompok yang masih bergelut menampilkan aksi meyakinkan, selain berpandangan jadual perlawanan yang kurang mempertemukan JDT dengan kelab Jepun dan Korea Selatan turut membantu meringankan laluan setakat ini.

Sentimen sama turut dikongsikan oleh beberapa penyokong bola sepak tempatan yang menilai sumbangan pemain luar negara skuad berkenaan secara berbeza mengikut peranan di atas padang.

Seorang lagi penyokong, Ahmad Shazwan, berkata hanya trio Medina, Guilherme dan Oscar yang dilihat benar-benar memberikan kesan ketara buat pasukan, manakala En Zailan pula memuji etika kerja keras Guilherme yang disifatkan sentiasa bergerak mencari ruang serta berani melakukan percubaan dari sudut sukar, namun masih memerlukan gandingan serasi.

Sementara itu, Nor Azman melontarkan persoalan mengenai proses penilaian bakat kelab tersebut berhubung kehadiran Shahab Zahedi yang disifatkannya sebagai keputusan sukar difahami.

Dari sudut rekod kejohanan, JDT kini mengumpul lapan mata selepas mengharungi lima aksi peringkat kumpulan ACLE 2026–27 hasil dua kemenangan, dua keputusan seri dan satu kekalahan.

Skuad bimbingan barisan kejurulatihan Harimau Selatan itu memulakan kempen pada 15 September lalu dengan keputusan seri 1-1 menentang Buriram United sebelum mencatat kemenangan 2-0 ke atas Pohang Steelers pada 13 Oktober dan menundukkan Port FC 3-0 pada 27 Oktober, diikuti kekalahan 0-2 kepada Jeonbuk Hyundai Motors pada 3 November serta terikat 1-1 bertemu Ratchaburi FC pada Selasa lalu.

Dengan baki tiga perlawanan peringkat kumpulan menanti, Azri menegaskan JDT perlu segera bangkit dan mensasarkan sekurang-kurangnya enam mata tambahan bagi memastikan kemaraan ke pusingan seterusnya tidak terjejas.

+ - reset