TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Penunggang motosikal hon kereta, lorong tambahan lebuh raya PLUS bukan khas untuk 'rider'

By
|
Kongsi
image

SUNGAI PETANI 27 NOVEMBER - Kekeliruan mengenai fungsi lorong tambahan di lebuh raya sekali lagi mencetuskan perdebatan hangat apabila tular rakaman kamera papan pemuka atau 'dashcam' memaparkan sebuah kereta putih yang sedang menuju ke Hentian Sebelah Tikam Batu dari arah Sungai Petani Selatan dibunyikan hon secara berpanjangan oleh penunggang motosikal.

Insiden yang dirakam sekitar 8.15 pagi semalam itu mengundang reaksi tegas daripada pengendali laman media sosial Trafik Info PLUS (Pulau Pinang) yang mengingatkan semua pengguna jalan raya agar memahami peranan sebenar laluan tambahan ketiga tersebut. 

Laluan berkenaan diwujudkan bagi melancarkan pergerakan lalu lintas serta menggantikan pelaksanaan 'Smart Lane' di jajaran terbabit.

"Para penunggang motosikal, jangan sesuka hati menganggap lorong ini sebagai lorong khas motosikal ataupun lorong kecemasan. Lorong tambahan ini bukan hak eksklusif mana-mana kategori kenderaan, sebaliknya semua pengguna yang dibenarkan menggunakan laluan tersebut berhak melaluinya," menurut kenyataan perkongsian berkenaan.

Pengendali halaman komuniti itu turut mempersoalkan tahap kefahaman segelintir penunggang terhadap maksud garisan di atas permukaan jalan, sambil menyifatkan tindakan membunyikan hon secara berterusan bagi menggertak pemandu lain sebagai perbuatan yang tidak wajar. 

Sikap bertolak ansur dan saling berkongsi ruang disifatkan amat penting demi menjamin keselamatan bersama di atas lebuh raya.

"Membunyikan hon secara berpanjangan untuk mengintimidasi pemandu lain bukanlah tindakan yang wajar. Kami memberi peluang kepada penunggang motosikal yang terlibat untuk memohon maaf kepada pemilik rakaman 'dashcam' ini selewat-lewatnya pada 27 November 2026," jelas hantaran itu lagi.

Menurut perkongsian sama, sekiranya tiada permohonan maaf dibuat dalam tempoh yang ditetapkan, rakaman video lengkap berserta nombor pendaftaran motosikal berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan atau Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut. 

Lebuh raya ditegaskan sebagai kemudahan awam milik bersama dan bukan ruang persendirian mana-mana pihak.

+ - reset