Berita Ekonomi
Ekonomi semakin terkawal, kadar OPR dijangka kekal hingga akhir tahun
KUALA LUMPUR 10 Sept - Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus berdasarkan ekonomi Malaysia yang berdaya tahan dan tekanan harga yang terkawal.
Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid, berkata dua indikator ekonomi itu seharusnya membolehkan negara mengekalkan kadar faedah sepanjang tahun ini.
Beliau berkata, ekonomi Malaysia ketika ini adalah sangat berdaya tahan dan telah menyaksikan pertumbuhan dalam separuh pertama tahun ini melebihi lima peratus.
Malah, katanya, bank pusat menjangkakan pertumbuhan sepanjang 2024 adalah sekitar lima peratus dengan inflasi yang masih terkawal dijangka tidak melebihi tiga peratus.
Katanya, kali terakhir BNM melakukan pelarasan OPR adalah pada pertengahan tahun lalu, apabila ia dinaikkan kepada tiga peratus dan secara dasarnya, kadar faedah di Malaysia sentiasa berada pada paras rendah kerana inflasi juga berada dalam situasi terkawal.
"Oleh itu, tiada sebab kukuh atau tekanan pada kadar faedah untuk bergerak ke mana-mana arah pada tahap ini.
"Walau bagaimanapun kami perlu terbuka kepada risiko yang mungkin timbul, terutama dalam aspek seperti bagaimana geopolitik akan mempengaruhi pasaran serta sama ada kita akan melihat pemulihan berterusan dalam pasaran antarabangsa," katanya dalam temubual bersama Bloomberg TV.
Mengulas lanjut, Adnan Zaylani berkata, melangkah ke hadapan bagi 2025, masih terlalu awal untuk BNM untuk mengunjurkan pergerakan OPR kerana ia banyak bergantung kepada persekitaran luaran dan dalaman.
"Itu terlalu awal untuk dijangka pada tahap ini. Masih banyak faktor yang boleh memainkan peranan. Ia masih bergantung kepada trajektori pertumbuhan dan inflasi untuk tahun-tahun akan datang.
"Masih ada faktor-faktor yang boleh mempengaruhi, bukan sahaja dari persekitaran antarabangsa tetapi juga dari segi domestik, yang mana dasar-dasar tertentu mungkin memberi kesan kepada prospek pertumbuhan dan inflasi," katanya.
Pendekatan neutral BNM itu membezakan Malaysia daripada negara Asia Tenggara lain ketika Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) bersiap sedia untuk menurunkan kadar faedah.
Kali terakhir BNM menyemak OPR adalah pada Mei 2023, menamatkan kitaran pengetatan selama setahun yang menyaksikan kenaikan sebanyak 125 mata asas kepada 3.0 peratus.
Berbanding negara lain, Filipina mengurangkan kos pinjaman daripada paras tertinggi dalam 17 tahun bulan lalu, sementara Indonesia dan Thailand memberi isyarat kesediaan untuk melonggarkan dasar monetari masing-masing.
Berita berkaitan
August 26, 2026, 2:33 pm
Proton sasar jualan 200,000 unit tahun ini, tertinggi dalam tempoh 15 tahun
August 3, 2026, 12:43 pm
Perodua turunkan harga Axia sehingga RM4,700 berkuat kuasa serta-merta
July 22, 2026, 3:03 pm
Berhenti tepuk tangan gembira bila bangsa usahawan jatuh — Azizan Osman
July 9, 2026, 4:02 pm
OPR kekal 2.75 peratus, ekonomi semakin kukuh
July 8, 2026, 3:08 pm
Dr. Hanafi dilantik CEO baharu Estika Medispa, catat lonjakan jualan 100 peratus
May 7, 2026, 5:14 pm
BNM kekalkan OPR pada kadar 2.75 peratus bagi tahun 2026
April 20, 2026, 12:12 pm
Pelabur luar borong RM9.5 bilion bon tempatan, Ringgit terus juara di Asia
April 18, 2026, 4:43 pm
Gangguan bekalan minyak Caltex di 5 negeri utara dan timur
April 10, 2026, 11:06 am
Bank Dunia saran Malaysia naikkan harga RON95 kepada RM2.05 seliter, kurangkan beban subsidi
April 9, 2026, 10:36 pm
