TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Guru sekolah maut kereta terbabas ketika sertai perlumbaan di MIMC

By
|
Kongsi
image

MELAKA 28 April – Seorang guru berusia 48 tahun maut selepas kereta dipandunya terbabas ketika menyertai perlumbaan di Litar Permotoran Antarabangsa Melaka (MIMC) berhampiran Durian Tunggal, malam tadi.

Mangsa, yang beralamat di Taman Pulai Perdana, Negeri Sembilan, disahkan meninggal dunia pada pukul 10 malam selepas lima jam mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa beraksi untuk mencatatkan masa terpantas dalam Kejohanan Sucimuci Time Attack yang dianjurkan oleh Sucimuci Motorsport.

“Ketika melalui satu selekoh tajam di litar, kereta dipandu mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas sendiri ke kiri jalan.

“Akibat kemalangan itu dia yang bekerja sebagai guru sekolah kebangsaan mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia pada pukul 10 malam ketika dirawat di hospital,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurut beliau lagi, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kita masih meneruskan siasatan untuk mengesahkan sama ada nahas ini berpunca daripada kegagalan mangsa mengawal kenderaan atau kelemahan prosedur operasi standard (SOP) daripada pihak penganjur.

“Nahas maut di litar ini bukan pertama kali berlaku, justeru kita meminta untuk kedua-dua pihak peserta dan penganjur mengambil langkah berjaga-jaga dalam setiap penganjuran perlumbaan,” ujarnya.

+ - reset