TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lawatan Presiden Maldives buka lembaran baharu perkukuh hubungan dua hala Malaysia-Maldives

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 29 April - Lawatan rasmi Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu ke Malaysia dijangka membuka lembaran baharu dalam memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama ini meliputi bidang perdagangan, pelaburan, industri halal, pendidikan, pelancongan, pembangunan belia dan sukan.

Katanya, Maldives kini merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan.

“Malaysia amat menghargai komitmen Maldives untuk terus mempereratkan kerjasama strategik yang membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

“Pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) dan dua dokumen Pertukaran Nota (EoN) yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Mohamed Muizzu dijangka memperluaskan lagi kerjasama dalam pelbagai sektor penting," katanya dalam satu perkongsian di media sosial hari ini.

Antara MoU yang dimeterai ialah dalam bidang pelancongan, sukan dan kesihatan, manakala dua EoN pula melibatkan kerjasama dalam bidang latihan diplomatik dan penubuhan perundingan dua hala antara Malaysia dan Maldives.

Ahmad Zahid turut hadir di majlis sambutan rasmi ketibaan Mohamed Muizzu di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, pagi tadi.

Untuk rekod, Mohamed Muizzu tiba di Malaysia semalam atas jemputan rasmi Perdana Menteri, dan ini merupakan lawatan sulung beliau ke Malaysia sejak dilantik sebagai Presiden Maldives pada November 2023. - Media Telus

+ - reset