TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia berlepas, musim Haji 1446H bermula

By
|
Kongsi
image

SEPANG 29 April - Musim haji bagi tahun ini bermula secara rasmi apabila seramai 284 jemaah haji Malaysia berlepas ke Tanah Suci awal pagi tadi.

Kumpulan pertama jemaah itu berangkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 4.05 pagi menerusi pesawat Malaysia Airlines MH8050 dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada jam 7.50 pagi waktu tempatan (Arab Saudi), hari yang sama.

Mereka terdiri daripada jemaah yang berlepas dari stesen Alor Setar di Kedah dan Sepang di Selangor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, sebanyak 100 penerbangan sewa khas menerusi syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines disediakan untuk membawa 31,600 jemaah haji ke Tanah Suci bagi musim ini.

"TH telah mula menghantar petugas haji ke Arab Saudi seawal 24 April lepas untuk membuat persediaan awal bagi menyambut ketibaan para tetamu Allah," katanya ketika menghadiri Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia Ke Tanah Suci Bagi Musim Haji 1446H/2025M.

Menurut Mohd Na'im, lapan stesen berlepas negeri akan digunakan untuk urusan melapor diri jemaah, iaitu di Sepang (Selangor), Alor Setar (Kedah), Kota Bharu (Kelantan), Kuala Terengganu (Terengganu), Bayan Lepas (Pulau Pinang), Senai (Johor), Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah).

Beliau turut menasihatkan jemaah supaya memanfaatkan peluang berharga sebagai dhuyufurrahman (tetamu Allah) dengan mengikhlaskan niat, tidak membiarkan masa berlalu dengan sia-sia serta memperbanyakkan amal ibadat sepanjang berada di Tanah Suci.

"Saya ingin mengingatkan semua jemaah haji Malaysia musim ini untuk mengekalkan tradisi dan imej baik negara di mata dunia.

"Semua jemaah haji perlulah mematuhi dan menghormati peraturan serta undang-undang Kerajaan Arab Saudi dengan mengelakkan diri daripada terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang tuan rumah," katanya.

Mohd Na'im bersama Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain serta barisan pengurusan TH turut hadir meraikan pelepasan kumpulan pertama bakal haji di KLIA pagi ini.

+ - reset