TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Punca 28 pelajar terkena jangkitan seakan influenza selepas sertai kem masih disiasat - KKM

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 29 April - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan satu kluster jangkitan penyakit seakan influenza (Influenza-Like Illness, ILI) dikesan melibatkan pelajar institusi pendidikan di Kuala Muda, Kedah, selepas mereka menyertai sebuah kem pada pertengahan April lalu.

Menerusi kenyataan, KKM memaklumkan kluster itu dikesan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda pada 23 April dan membabitkan 28 kes daripada 158 pelajar yang terdedah, dengan kadar serangan sebanyak 17.7 peratus.

“Enam daripada 28 kes disahkan positif Influenza A dan dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani yang mana mereka telah dibenarkan pulang ke rumah.  
“Manakala 22 pelajar yang bergejala ILI pula telah menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.

Tindakan segera diambil PKD dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah termasuk siasatan persekitaran, penilaian risiko di lokasi kem serta pengesanan aktif kes baharu di sekolah terlibat.

Rawatan dan pengasingan bagi kes bergejala turut dilaksanakan, selain pemantauan rapi di daerah terbabit.

“PKD Kuala Muda pada 23 April juga telah menerima notifikasi kejadian seorang pelajar lelaki berumur 14 tahun dari institusi pendidikan yang sama.  

“Pelajar tersebut mengalami gejala demam serta sakit badan terutamanya pinggul kanan pada 18 April selepas menghadiri sebuah program Kem Jati Diri selama dua hari di Yan, Kedah,” katanya.

Turut mengalami gejala serupa ialah seorang kakitangan institusi itu yang mula sakit sejak 17 April, termasuk demam, batuk, kelesuan dan sakit badan.

“Kedua-dua kes ini telah dimasukkan ke wad di Hospital Sultan Abdul Halim dan berada dalam keadaan stabil.  

"Ujian dijalankan menunjukkan kedua-dua kes adalah negatif untuk jangkitan virus Influenza. Punca jangkitan untuk kedua-dua kes ini masih dalam siasatan,” katanya.

Orang ramai dinasihatkan agar mengamalkan langkah pencegahan, selain mendapatkan vaksinasi influenza secara tahunan bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 39 pelajar tingkatan dua dan kakitangan sebuah sekolah menengah di Kuala Muda mengalami gejala demam, batuk dan ruam selepas menyertai latihan di sebuah kem di Yan.

-

+ - reset