TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PMO anjur Program MADANI Rakyat 2025 di Tawau bermula 9 Mei depan

By
|
Kongsi
image

TAWAU 29 April – Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) akan menganjurkan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah selama tiga hari bermula 9 Mei ini, bertempat di Dataran Majlis Perbandaran Tawau.

Program berkonsepkan 'Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan' ini dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Kerajaan Negeri Sabah, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan membasmi kemiskinan tegar secara mampan.

Menurut kenyataan Sekretariat PMR 2025, pendekatan program memberi tumpuan kepada pemerkasaan komuniti melalui keusahawanan sebagai landasan utama meningkatkan pendapatan, membuka peluang pekerjaan dan menggalakkan mobiliti sosial, khususnya dalam kalangan penduduk luar bandar dan golongan B40.

“Usaha ini digerakkan selari dengan nilai-nilai Malaysia MADANI, bagi memperkukuh kesejahteraan komuniti dan memperbaiki taraf hidup rakyat,” jelas kenyataan itu.

Pelbagai aktiviti berimpak tinggi akan dilaksanakan sepanjang program berlangsung, termasuk perkhidmatan berkaitan kos sara hidup, pemeriksaan kesihatan dan khidmat nasihat sosial. Aspek perpaduan nasional turut diberi perhatian melalui penglibatan komuniti berbilang kaum dalam program integrasi yang disediakan.

Turut dimuatkan dalam program ialah peluang pendidikan dan kerjaya menerusi penganjuran inisiatif Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Karnival Kerjaya yang melibatkan penyertaan agensi kerajaan dan syarikat swasta.

Program ini juga akan menampilkan penyertaan pelbagai agensi Kerajaan Negeri Sabah serta kementerian peneraju yang menyediakan perkhidmatan secara langsung kepada rakyat, termasuk inisiatif pembasmian kemiskinan negeri melalui lima teras intervensi iaitu Perumahan, Pendidikan, Pekerjaan, Kebajikan, dan Keusahawanan serta Latihan.

Sebagai tambahan, program Jualan MADANI akan dianjurkan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup dengan menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan.

Majlis Penutupan PMR 2025 Sabah dijadualkan berlangsung pada 11 Mei, jam 2 petang, dan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan kepimpinan kerajaan Persekutuan dan negeri.

Program ini dibuka kepada orang ramai bermula jam 9 pagi hingga 10 malam pada 9 dan 10 Mei (Jumaat dan Sabtu), serta dari jam 9 pagi hingga 6 petang pada 11 Mei (Ahad). - Media Telus

+ - reset