TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

60 peratus penagih dadah golongan belia

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 29 April – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mendedahkan bahawa sebanyak 60 peratus pengguna dadah di negara ini terdiri daripada golongan belia, satu statistik yang disifatkannya sebagai membimbangkan.

Tegas Hannah, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini melaksanakan pelbagai inisiatif secara agresif bagi meningkatkan kesedaran dan menyediakan platform pemulihan kepada belia yang terjebak dalam masalah penagihan dadah.

“Saya yakin ramai dalam kalangan belia yang mahu berhenti mengambil dadah, namun mereka tidak tahu di mana untuk mendapatkan rawatan. Kita mesti membantu mereka,” katanya menerusi satu perkongsian di media sosial.

Hannah turut berkongsi pengalamannya ketika menziarahi Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Dengkil, di mana beliau sempat berinteraksi dengan seorang penghuni belia di pusat berkenaan.

Menurutnya, belia tersebut, seorang kontraktor jalan raya, mengakui menggunakan dadah untuk mengurangkan kesakitan akibat bekerja berjam-jam di bawah panas terik matahari.

“Saya mempercayai kisahnya dan memberikan kata-kata semangat agar dia tidak berputus asa. Dia menangis ketika menerima sokongan itu, dan saya amat tersentuh,” kata Hannah.

Beliau menegaskan bahawa KBS akan terus bekerjasama erat dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam usaha memerangi isu penagihan dadah dalam kalangan belia.

"Doakan kejayaan kami kerana ini isu yang berat. Kita mesti membantu mereka keluar daripada jerat dadah," tambahnya. - Media Telus

+ - reset