TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Melaka perlukan RM25 juta selesaikan masalah lampu jalan negeri

By
|
Kongsi
image

MELAKA 29 April – Kerajaan Negeri Melaka memerlukan kira-kira RM25 juta untuk menyelesaikan sepenuhnya masalah lampu jalan di jalan-jalan negeri, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Menurut beliau, pada tahun ini Melaka hanya menerima peruntukan sebanyak RM3.5 juta, iaitu RM3 juta daripada Kerajaan Persekutuan dan RM500,000 daripada kerajaan negeri.

"Jumlah ini masih jauh daripada mencukupi untuk menyelesaikan isu lampu jalan di jalan negeri, malah ia tidak termasuk keperluan lampu jalan di kawasan kampung," katanya ketika menjawab soalan Tuminah Kadi (BN–Pantai Kundor) pada sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, hari ini.

Bagaimanapun, tambah Hameed, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta agensi berkaitan terus berusaha mendapatkan tambahan peruntukan bagi mempercepatkan penyelesaian masalah ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Melaka turut menerima tambahan RM1.7 juta daripada peruntukan Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) untuk pemasangan lampu jalan di kawasan kampung tahun ini.

Dana itu akan diagihkan kepada setiap daerah dengan Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin masing-masing menerima RM500,000, manakala JKR Melaka pula diperuntukkan RM200,000. - Media Telus

+ - reset