TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemandu treler pandu melulu di jambatan Pulau Indah disiasat polis

By
|
Kongsi
image

KUALA LANGAT, 29 April – Seorang pemandu kereta berdepan detik cemas apabila terpaksa mengelak sebuah treler yang dipandu secara melulu di Jambatan Pulau Indah, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata kejadian berlaku sekitar jam 2 petang melibatkan sebuah treler Volvo hijau yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an.

“Treler tersebut datang dari arah Westport, Klang menuju Kajang dan telah memotong sebuah lagi treler di atas jambatan yang mempunyai garisan berkembar, menyebabkan kenderaan dari arah bertentangan terpaksa berhenti di bahu jalan untuk mengelakkan perlanggaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, pemandu treler itu memiliki lesen memandu yang sah dan keputusan ujian air kencing menunjukkan negatif dadah.

Pemandu tersebut telah tampil memberikan keterangan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nor Baiti Mustafa di talian 014-5006072 atau 03-31872222.

Terdahulu, tular satu rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) di media sosial memaparkan detik kejadian berkenaan. - Media Telus

+ - reset