TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

60 NGO sokong larangan vape di Terengganu, tuntut diperluaskan ke seluruh negara

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 29 April – Gabungan 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyatakan sokongan penuh terhadap langkah kerajaan Terengganu yang mengharamkan jualan dan penggunaan vape di negeri itu, berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Dalam kenyataan bersama, gabungan tersebut mencadangkan skop penguatkuasaan larangan vape diperluaskan ke seluruh negara, termasuk menguatkuasakan undang-undang kecil di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dengan hukuman seperti kompaun, penyitaan dan pendakwaan di mahkamah.

"Kerajaan juga disaran supaya tidak menerima sebarang tajaan daripada syarikat pengeluar atau pengedar vape dalam penganjuran acara negeri dan melarang iklan vape dipamerkan," jelas kenyataan itu.

Gabungan NGO tersebut, yang mewakili latar belakang kesihatan dan kemasyarakatan, turut menyatakan kebimbangan terhadap penyalahgunaan vape yang kini berada pada tahap kritikal, termasuk penggunaan bahan terlarang dalam cecair vape.

Antara insiden yang dibangkitkan termasuk kes kematian seorang jurujual yang ditemui tidak sedarkan diri dengan mulut berbuih selepas dipercayai menghisap vape, serta pendedahan polis bahawa cecair vape dicampur dadah sintetik berbahaya.

Kementerian Kesihatan sebelum ini mengesahkan 41 kes penyakit EVALI (kecederaan paru-paru berkaitan penggunaan vape) direkodkan di Malaysia, dengan kos rawatan mencecah sehingga RM150,000 bagi setiap pesakit.

Dalam masa sama, NGO terbabit mengkritik tindakan menyah senarai nikotin daripada senarai racun terkawal, yang didakwa berpunca daripada tekanan industri.

Mereka turut menyambut baik inisiatif kerajaan negeri Terengganu menyediakan pelan peralihan tiga bulan dan latihan keusahawanan alternatif untuk membantu pengusaha serta pekerja kedai vape beralih kepada sektor yang lebih selamat.

"Inisiatif kawalan ketat ini diharap dapat dijadikan contoh dan diterapkan di negeri-negeri lain sempena sambutan Hari Kemerdekaan akan datang," kata kenyataan itu. - Media Telus

+ - reset