Berita Berita
Pemuda OKU didakwa amang seksual akan dirujuk ke Hospital Bahagia untuk penilaian mental

AMPANG 29 April – Seorang pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdepan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Hulu Selangor, akan dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk penilaian kesihatan mental.
Langkah itu dibuat selepas permohonan dikemukakan peguam tertuduh, Muhammad Adam Haiqal Abdullah, 19, ketika prosiding sebutan kali kedua kes di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini.
Peguam Lingswaran Singh berkata, permohonan mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah itu dibuat berdasarkan maklumat ibu tertuduh serta hasil interaksi yang menunjukkan kemungkinan tertuduh tidak waras dan tidak berupaya membela diri.
“Penilaian psikologi terdahulu juga menunjukkan tingkah laku tertuduh yang menjurus kepada masalah kewarasan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Nadia Malek Fauzie pula memaklumkan mahkamah bahawa dua dokumen penting masih belum diperoleh iaitu laporan forensik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan perubatan mangsa dari Hospital Selayang.
Susulan itu, Hakim Norshila Kamaruddin menetapkan 22 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan penilaian kesihatan mental, laporan perubatan serta forensik CCTV.
Pada 27 Februari lalu, Muhammad Adam Haiqal membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Namun pada 27 Mac, beliau menukar pengakuannya kepada tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula.
Tertuduh kekal ditahan di Pusat Koreksional Puncak Alam berikutan keluarganya tidak mampu membayar wang jaminan sebanyak RM15,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan. Mahkamah juga tidak menetapkan jumlah jaminan pada tarikh tersebut memandangkan ketiadaan ahli keluarga di mahkamah.
Kes melibatkan pesalah muda berusia antara 18 hingga 21 tahun ini sebelum ini turut ditangguhkan bagi menunggu laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum jatuh hukum.
Kesalahan didakwa berlaku pada 21 Februari lalu sekitar jam 6.20 pagi di sebuah masjid di Kampung Sungai Masin, Batang Kali. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. - Media Telus
Berita berkaitan
May 3, 2025, 1:47 pm
Remaja parah jatuh longkang dikejar anjing liar di Bandar Tasik Puteri
May 3, 2025, 1:01 pm
M Nasir jumpa Anwar bincang soal industri kreatif
May 3, 2025, 11:55 am
Rangka manusia ditemui belakang rumah milik lelaki hilang sejak Julai tahun lalu
May 3, 2025, 11:21 am
Anggap pemilihan parti tak adil, Rafizi luah hasrat nak letak jawatan
May 3, 2025, 10:56 am
Guru tikam anak 11 tahun guna pisau pemotong sayur direman 7 hari
May 3, 2025, 10:04 am
Budak 10 tahuh maut, 10 cedera dalam nahas babit 3 kenderaan di Kota Tinggi
May 2, 2025, 7:11 pm
Seorang maut, 2 parah babit 3 RXZ bertembung di LPT2
May 2, 2025, 3:36 pm
Kertas siasatan Ahli Parlimen Raub sudah dihantar ke Bukit Aman
May 2, 2025, 3:15 pm
FOMCA: Vape ancam kesihatan, keselamatan negara, bukan sekadar perniagaan
May 2, 2025, 3:07 pm