TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

JKDM Sarawak rampas 4.08kg Methamphetamine dikirim ke alamat rumah usang di Miri

By
|
Kongsi
image

KUCHING 29 April - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya merampas 4.08 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine yang dikirim dari Semenanjung Malaysia ke Miri menggunakan perkhidmatan kurier, dengan penghantaran dibuat ke sebuah rumah usang yang tidak berpenghuni.

Pengarah Kastam Sarawak, Norizan Yahya, berkata rampasan itu dilakukan dalam satu pemeriksaan menggunakan Anjing Pengesan Dadah (APD) di sebuah syarikat perkhidmatan kurier di Eastwood Valley Industrial Park, Miri, sekitar jam 9.30 pagi pada 24 Mac lalu.

"Dalam pemeriksaan pertama, APD mengesan satu kotak bungkusan yang mengandungi dua bungkusan teh disyaki berisi methamphetamine seberat 2.04kg dengan nilai anggaran RM65,280," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemeriksaan seterusnya menemui dua lagi bungkusan teh berisi methamphetamine seberat 2.04kg, juga dianggarkan bernilai RM65,280, yang disembunyikan bersama produk makanan.

Menurut Norizan, modus operandi sindiket adalah dengan menggunakan perkhidmatan kurier udara untuk menghantar dadah dari Semenanjung ke Sarawak, dengan menyasarkan alamat rumah yang tidak berpenghuni bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah ini dianggarkan sebanyak RM130,560.

JKDM menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam di 1-800-88-8855. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan. - Media Telus

+ - reset