Berita Berita
Situasi perundangan selepas letupan di Putra Heights

KUALA LUMPUR 29 April - Letupan saluran paip gas yang berlaku di Putra Heights pada 1 April 2025 telah menimbulkan persoalan undang-undang mengenai kesediaan Malaysia, struktur pihak-pihak yang bertanggungjawab, dan langkah-langkah pengawalan apabila bencana perindustrian sedemikian melanda. Dengan sejumlah lebih 227 rumah dan 365 kenderaan terjejas – serta 87 rumah dilaporkan musnah keseluruhannya, mangsa kini berdepan perjalanan yang panjang dan rumit bagi mendapatkan pampasan dan pemulihan.
Perlindungan Insurans dan Isu Kekurangan Perlindungan
Secara amnya, pemilik rumah boleh mendapatkan pampasan melalui polisi insurans kebakaran. Walau bagaimanapun, ini hanya boleh dilakukan jika insurans kebakaran rumah yang mencukupi telah dibeli terlebih dahulu. Walaupun insurans kebakaran selalunya menjadi prasyarat untuk rumah yang masih di bawah perjanjian pinjaman perumahan, pemilik hartanah yang lebih lama mungkin telah menyelesaikan pinjaman dan tidak mendapatkan perlindungan yang mencukupi, menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian sendiri.
Tambahan pula, jika adanya insurans kebakaran, hanya kerosakan struktur dan pemasangan tetap dapat dituntut. Barang-barang bernilai tinggi di dalam premis seperti komputer riba, peranti mudah alih, dan sistem hiburan, umumnya tidak diinsuranskan dan tidak dapat dituntut kerugiannya. Barang-barang yang mempunyai nilai sentimental juga tidak mungkin diganti sama sekali. Selain itu, apa-apa penyusutan nilai harta secara jangka panjang akibat kejadian ini juga perlu ditanggung sendiri oleh pemilik.
Bagi kenderaan, jika pemilik hanya mendapatkan insurans ‘pihak ketiga’ biasa yang kerap menjadi pilihan untuk kenderaan lama, motosikal, dan kenderaan komersial, mereka tidak dilindungi untuk kerosakan akibat kebakaran. Hal ini berpotensi menyebabkan ramai yang tidak mendapat pembelaan kewangan untuk kerosakan kenderaan mereka.
Selain itu, gangguan penghantaran gas di kawasan tersebut juga menjejaskan operasi di kira-kira 200 kilang berhampiran, termasuk pengeluar makanan dan industri pemprosesan logam. Dari segi undang-undang, ini adalah contoh “kerugian ekonomi tulen”, iaitu kerugian kewangan yang timbul secara tidak langsung daripada sesuatu musibah.
Menurut undang-undang Malaysia ketika ini, kerugian sedemikian tidak dapat dituntut kembali. Keputusan Mahkamah Persekutuan 2018 dalam kes Tenaga Nasional Berhad lwn Batu Kemas Industri & Anor menjelaskan perkara ini. Ini secara ketara mengehadkan pembelaan undang-undang untuk industri yang terjejas dan menimbulkan persoalan tentang sama ada undang-undang sedia ada memadai untuk situasi kebergantungan ekonomi zon industri moden.
Perhatian umum telah mula tertumpu kepada peranan yang dimainkan oleh pemilik saluran paip, Suruhanjaya Tenaga, serta pihak berkuasa tempatan. Beberapa undang-undang utama menggariskan tanggungjawab pihak-pihak ini, iaitu Akta Bekalan Gas 1993 (Akta 501) (Pindaan 2016), Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 1997 [P.U.(A) 287], Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 (Akta 610), serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
Sebagai pemegang lesen yang membekalkan gas di kawasan terjejas, pemilik saluran paip adalah bertanggungjawab terhadap keselamatan dan penyelenggaraan pemasangan gas di bawah Bahagian III dan VI Peraturan-Peraturan 1997. Setakat ini, tiada sebarang bukti bahawa pemilik saluran paip gagal dalam tanggungjawab ini.
Tugas Suruhanjaya Tenaga pula dinyatakan dalam Seksyen 4(1) Akta 501, termasuk mandat “untuk memastikan bahawa orang awam dilindungi daripada bahaya yang timbul daripada pengagihan, peruncitan atau penggunaan gas” [Seksyen 4(1)(h)]. Sementara itu, tanggungjawab pihak berkuasa tempatan di bawah Akta 133 termasuk pengeluaran permit untuk kerja penggalian di kawasan tersebut.
Namun, kekebalan statutori mungkin merumitkan sebarang percubaan untuk mengenakan liabiliti. Suruhanjaya Tenaga dilindungi daripada tindakan undang-undang tertentu di bawah Seksyen 37 Akta 501, manakala pihak berkuasa tempatan dilindungi di bawah Seksyen 95(2) Akta 133 seperti yang dijelaskan dalam kes Mahkamah Persekutuan, Majlis Perbandaran Ampang Jaya lwn Steven Phoa Cheng Loon pada tahun 2006. Perlindungan ini mungkin mengehadkan atau menafikan sama sekali tindakan undang-undang terhadap badan-badan awam tersebut.
Walaupun kecuaian kontraktor masih menjadi kemungkinan, perlu diingatkan bahawa liabiliti undang-undang tidak boleh ditentukan sehingga siasatan selesai. Jika wujudnya kecuaian, masih menjadi persoalan sama ada pihak kontraktor mempunyai kemampuan kewangan ataupun perlindungan insurans untuk membayar pampasan pada skala ini. Jelasnya, ini menekankan kepentingan insurans liabiliti mandatori dan sistem kawal selia yang ketat untuk kerja berisiko tinggi berhampiran infrastruktur kritikal.
Menuju Kerangka Perundangan yang Lebih Berdaya
Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor dan pemilik saluran paip telah menghulurkan bantuan kewangan ex gratia kepada mangsa. Namun demikian, adalah penting untuk membangunkan perlindungan undang-undang yang lebih kukuh untuk menangani kesan tragedi perindustrian serupa ini pada masa depan.
Letupan Putra Heights mengingatkan kita bahawa sistem perundangan dan kawal selia di Malaysia perlu bergerak seiring dengan kemajuan infrastruktur dan kapasiti industri. Kita perlu memperkukuh perlindungan, menutup jurang insurans, dan memperkasakan tadbir urus demi melindungi keselamatan nyawa serta mata pencarian.
**Dr Wilson Tay Tze Vern adalah Pensyarah Kanan dan Pengarah Program Doktor Falsafah dalam Undang-Undang di Pusat Pengajian Undang-Undang dan Tadbir Urus, Fakulti Perniagaan dan Undang-Undang, Taylor’s University.
Berita berkaitan
May 3, 2025, 1:47 pm
Remaja parah jatuh longkang dikejar anjing liar di Bandar Tasik Puteri
May 3, 2025, 1:01 pm
M Nasir jumpa Anwar bincang soal industri kreatif
May 3, 2025, 11:55 am
Rangka manusia ditemui belakang rumah milik lelaki hilang sejak Julai tahun lalu
May 3, 2025, 11:21 am
Anggap pemilihan parti tak adil, Rafizi luah hasrat nak letak jawatan
May 3, 2025, 10:56 am
Guru tikam anak 11 tahun guna pisau pemotong sayur direman 7 hari
May 3, 2025, 10:04 am
Budak 10 tahuh maut, 10 cedera dalam nahas babit 3 kenderaan di Kota Tinggi
May 2, 2025, 7:11 pm
Seorang maut, 2 parah babit 3 RXZ bertembung di LPT2
May 2, 2025, 3:36 pm
Kertas siasatan Ahli Parlimen Raub sudah dihantar ke Bukit Aman
May 2, 2025, 3:15 pm